
Tidak pernah mengambil ringan aspek keselamatan pelajar dan guru, Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Haq, di sini, mengakui ciri-ciri keselamatan itu memerlukan modal yang agak besar.
Mudirnya, Muhammad Ikram Mazlan, 27, berkata, sedangkan perbelanjaan pengurusan bergantung dengan dana sumbangan pelbagai pihak.
Menurutnya, walaupun dalam keadaan dana yang terhad itu, pihaknya sentiasa memastikan persekitaran maahad tahfiz yang beroperasi di Kampung Alai, di sini, itu dalam keadaan selamat.
"Hakikatnya sekarang ini aspek keselamatan memang memerlukan modal, jadi sebagai sebuah institusi pendidikan bukan kerajaan, sudah tentu dana yang dimiliki amat terhad.
"Sebagai contoh di sini, kita bergantung kepada sumbangan pihak luar, itu pun ada kalanya ada yang memandang serong kepada pihak kami yang memohon sumbangan," katanya kepada pemberita ketika dihubungi di sini, semalam.
Simpati dengan kejadian menimpa Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang mengorbankan nyawa 21 pelajar dan dua guru semalam, beliau menggesa supaya insiden berkenaan mendapat perhatian semua pihak.
Muhammad Ikram berkata, selepas tiga tahun beroperasi dan kini memiliki 12 pelajar berusia 11 hingga 17 tahun serta seorang pembantu guru, setiap malam beliau akan berpesan kepada pelajar supaya peka dengan keselamatan.
Katanya, pesanan itu meliputi memastikan pintu tertutup dan mengingatkan mereka mengenai pintu yang boleh digunakan sekiranya tercetus kebakaran.
Bagaimanapun, beliau mengakui setakat ini masih tiada alat pemadam api disediakan di maahad itu dan akan berusaha menyediakannya.
"Bangunan (maahad) ini dibina menggunakan dana sumbangan orang ramai dan ada juga sumber daripada wakaf, melaluinya kita sentiasa menambah baik bangunan ini," katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor