Program membantu rakyat sememangnya sudah sinonim dengan Umno sejak dahulu lagi terutama kepada masyarakat di Felda.
Pengerusi Biro Kebajikan Umno, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, program Umno Bantu Rakyat 2.0 menyaksikan jelajah ke lokasi terakhir di Pahang iaitu di Felda Lepar Hilir 1 di bawah Parlimen Paya Besar.
Menurutnya, kerajaan sentiasa menjaga kebajikan masyarakat di Felda sejak ia diwujudkan.
"Pelbagai insentif yang diumumkan Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak pada Hari Peneroka yang lalu.
"Ini membuktikan Felda sentiasa dekat di hati kita semua,"katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program Umno Bantu Rakyat 2.0 Parlimen Paya Besar, di Felda Lepar Hilir 1.
Hadir sama, Ahli Parlimen Paya Besar, Dato' Sri Abdul Manan Ismail dan Adun Lepar, Dato' Sohaimi Jusoh.
Shamsul Anuar berkata, Umno sentiasa melaksanakan program turun padang membantu rakyat tanpa mengira latar belakang.
Katanya, beliau yakin masyarakat di Felda bijak menilai dan memberi sokongan kepada pemimpin yang menjaga kebajikan mereka.
"Saya juga dimaklumkan, Paya Besar adalah kubu kuat Umno dan saya harap sokongan akan berterusan,"katanya.
Sementara itu, Abdul Manan berkata, Umno Paya Besar sudah menggerakkan jentera melalui Biro Kebajikan untuk membantu rakyat di sana.
"Program ziarah dan membantu masyarakat di Paya Besar sudah menjadi program wajib setiap minggu. Usaha membantu rakyat sememangnya menjadi budaya Umno sejak dulu,bukan bermusim,"katanya.
Parlimen Paya Besar menjadi lokasi keempat pelancaran Program Umno Bantu rakyat selepas daerah Bera, Bentong dan juga Cameron Highlands di Pahang.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor