Pages

Saturday, September 23, 2017

[KUANTAN] JANGAN PAKSA ANAK KECIL TERLAMPAU KUASAI AKADEMIK


Jangan paksa anak kecil terlampau kuasai akademik


Ibu bapa tidak seharusnya memaksa anak-anak mereka untuk menguasai akademik sebelum usia yang sepatutnya.

Pengerusi Persatuan Pengasuh Pahang, Zubaidah Hussin berkata, ini kerana pada umur enam tahun pertama, emosi mereka sedang berkembang dan cara terbaik untuk mengajar mereka adalah menerusi aktiviti bermain dan juga penguasaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

Menurutnya, justeru pendedahan menerusi kaedah itu berkesan untuk membantu mereka belajar sambil bermain.

“Banyak cabaran dalam mendidik kanak-kanak yang semakin besar, di mana mereka perlu didedahkan dengan nilai-nilai murni terlebih dahulu sebelum hal- hal akademik yang lain.

“Tapi, pendidikan akhlak adalah yang paling utama sebelum mengajar mereka membaca, menari dan berdikari kerana semua perkara bermula dengan akhlak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Kanak- kanak Warisan Dunia 2.0, anjuran Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial (FESS) Kolej Universiti Widad di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Kolej Universiti Widad, General Professor Datuk Dr Mohd Zin Bidin (B).

Dalam pada itu, Zubaidah memaklumkan seluruh rakyat di negeri ini amat terkesan dengan tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang dilakukan oleh remaja bawah umur dan sebelum itu kejadian buli yang membawa kematian pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPMN).

“Dua kejadian ini melibatkan golongan bijak pandai di IPT dan satu lagi melibatkan golongan yang terjebak dengan penagihan dadah.

“Jika kedua- dua golongan ini memiliki akhlak dan nilai- nilai murni, sudah pasti kejadian seumpama ini tidak berlaku,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor