Pengusaha rumah kebajikan anak yatim diingatkan supaya mendaftarkan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala pusat tahfiz perlu berdaftar dengan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) dalam masa terdekat.
Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, ia penting agar aspek keselamatan dan kebajikan penghuni yang terdiri daripada anak yatim terjamin.
Titahnya, sekiranya pengusaha tidak berdaftar ia akan memberi kesan kepada pengurusan rumah berkenaan.
“Ia termasuklah sukar untuk mendapat bantuan selain aspek keselamatan dipandang ringan. Insiden pusat tahfiz yang terlibat kebakaran sebelum ini harus menjadi iktibar kepada kita semua.
“Dalam masa sama, saya mahu pasukan Bomba dan Penyelamat proaktif dengan melakukan pemeriksaan di rumah anak yatim dan tahfiz bagi memastikan aspek keselamatan berada pada tahap terbaik,” titahnya pada Majlis Perasmian Seminar Pengurusan Rumah Anak Yatim Negeri Pahang anjuran Pertubuhan Kebajikan Rumah Anak Yatim Pahang (Perkaya), semalam.
Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (Peyatim), Dato' Prof Dr Tengku Mahmud Mansor dan Yang Dipertua Pekaya, Dato' Sri Ishak Muhammad.
Tengku Abdullah bertitah, melalui seminar yang diadakan itu dapat memberi idea baru dalam pengurusan rumah anak yatim di Pahang khususnya.
Titahnya, rumah anak yatim juga digalakkan supaya berdaftar dengan Pekaya kerana ia lebih mudah dari segi pengurusan dan bantuan yang diperlukan.
“Justeru, saya harap pihak yang berkenaan mengambil langkah sepatutnya agar rumah anak yatim di negeri ini dapat beroperasi dengan baik,” titahnya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor