Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr. Mahathir Mohamad dibidas atas kenyataannya yang kononnya mahu melihat kembali Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk mengembalikan hak Sabah dan Sarawak jika pembangkang menang pada pilihan raya umum akan datang.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Raymond Tan berkata, kenyataan itu adalah satu pembohongan kerana Dr. Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri telah menarik hak rakyat Sabah seperti terkandung di dalam MA63 tanpa merujuk kepada Parlimen terlebih dahulu.
Katanya, hak tersebut adalah dalam industri gas dan tenaga yang dihapuskan pada tahun 1983 hanya dengan menggunakan Artikel 95C Perlembagaan Persekutuan tanpa dibahaskan di Parlimen sebelum dipersetujui.
“Ini adalah kes yang amat jelas pada tahun 1983 apabila Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri membatalkan perundangan tentang hak rakyat Sabah yang terkandung di dalam MA63 tetapi Sarawak dikekalkan.
“Perkara ini berkaitan hak kerajaan negeri dalam pembekalan elektrik, industri gas serta kerja-kerja lain dalam pengedaran industri tenaga,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, tidak cukup dengan itu, pada tahun 1996, Dr. Mahathir turut menjalankan kempen agar hak Imigresen yang dimiliki oleh Sabah seperti terkandung di dalam MA63 dihapuskan, namun usaha berkenaan gagal kerana ditolak oleh pemimpin-pemimpin tempatan.
Bagaimanapun katanya, hak tersebut berjaya dikekalkan hingga kini selepas pemimpin-pemimpin Sabah ketika itu menolak cadangan berkenaan.
“Nasib baik pemimpin Sabah berjaya mengekalkan hak tersebut. Saya percaya Dr. Mahathir dan pemimpin Pakatan Harapan masih mempunyai perancangan untuk mengambil hak Imigresen kita,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor