Kuala Lumpur – DAP adalah ‘top dog’ sebenar dalam Pakatan Harapan (PH) dengan penasihatnya, Lim Kit Siang disifatkan sebagai pemimpin de facto pembangkang yang membuat segala keputusan dalam gabungan pakatan tersebut.
Menurut Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad, strategi yang digunakan DAP itu adalah strategi ‘Ali Baba’ yang meletakkan orang Melayu di hadapan, sedangkan kuasa sebenar berselindung di balik tabir.
“Bagaimanapun, orang Melayu kini mula membenci taktik kotor parti itu kerana menghina mereka. Mengapa DAP dan Kit Siang masih bermain helah ini? Adakah kerana pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam PH yang diketuai DAP itu semakin merosot sehingga mereka memerlukan seorang tokoh Melayu baharu berada di hadapan untuk memimpin mereka?
“DAP dan Kit Siang sedar bahawa orang Melayu tidak akan menyokong mereka secara langsung, jadi daripada mempercayai rakan-rakan seperti Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail daripada PKR atau Mohamad Sabu daripada PAN, mereka memilih untuk membentuk sekutu baharu dengan Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Mereka juga mengetahui Dr. Mahathir tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang serta PPBM hanya mempunyai satu kerusi di Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya lagi, keputusan DAP menyokong Dr. Mahathir untuk memimpin PH adalah satu bentuk penghinaan terhadap PKR dan PAN.
“DAP dan Kit Siang menyatakan keputusan itu berdasarkan pengalaman dan gravitas Dr. Mahathir, namun tindakan ini jelas menunjukkan hipokrit memandangkan sebelum ini parti itu pernah menganjurkan gerakan reformasi menentang bekas Perdana Menteri tersebut,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor