Pages

Friday, August 25, 2017

PERKHIDMATAN KTM DIJANGKA PULIH SEPENUHNYA ISNIN


KTMB KTM


Kuala Lumpur – Kerja-kerja membaik pulih perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di laluan antara Stesen KL Sentral dan Kepong yang mengalami gangguan berikutan insiden kegelinciran tren kargo, sedang giat dijalankan dan dijangka beroperasi Isnin depan (28 Ogos).

KTMB dalam kenyataan hari ini berkata sehubungan itu, operasi tren akan menggunakan satu landasan sahaja antara Stesen KL Sentral dan Kepong bermula esok hingga 27 Ogos dan perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) pula akan beroperasi seperti biasa bagi semua laluan.

“Perkhidmatan tren bagi laluan Batu Caves-Tampin/Pulau Sebang-Batu Caves akan beroperasi dengan kekerapan 30 minit, manakala laluan Pelabuhan Klang-Tanjung Malim-Pelabuhan Klang akan beroperasi dengan kekerapan antara 30 minit hingga satu jam,” menurut kenyataan itu.

Isnin lepas, perkhidmatan KTM Komuter bagi kedua-dua laluan Batu Caves-Tampin/Pulau Sebang dan Pelabuhan Klang-Tanjung Malim mengalami gangguan berikutan sebuah tren kargo tergelincir di KM386.900 iaitu di antara Stesen Kuala Lumpur dan Kepong.

Kejadian yang berlaku kira-kira 1.32 pagi itu menyebabkan satu daripada landasan tersebut terhalang.

Pengguna boleh menghubungi pusat panggilan KTMB di talian 03-22671200 atau melayari www.ktmb.com.my, media sosial Facebook dan Twitter KTMB, untuk mendapatkan perkembangan terkini.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor