Pages

Monday, August 7, 2017

[BERA] 'SAYA SEGAN NAK MINTA'


‘Saya segan nak minta’


Seorang warga emas Rahmah Hashim, 72, tidak pernah mengeluh sepanjang 38 tahun berbakti menjaga suaminya Abu Kassim Kamis, 73, yang lumpuh akibat kemalangan.

Namun kini, dia terpaksa mengalah daripada terus menguruskan suaminya itu sejak dua tahun lalu setelah dia pula diserang strok.

Kini tugas menguruskan suami isteri ini dipikul oleh anak-anak pula.

Rahmah yang merupakan bekas Pengerusi GPW dan Ketua Wanita Umno Cawangan Felda Sebertak diserang strok kerana mengalami tekanan darah terlalu tinggi dan terpaksa makan serta minum melalui tiub yang dipasang pada hidungnya.

Menurutnya anaknya, Rosli, 48, pada ketika itu, ibunya nazak dan pihak hospital meminta membawa ibunya pulang ke rumahnya agar dapat menghabiskan masa bersama keluarga.

“Alhamdulillah, semangat mak kuat. Adik-beradik juga ikhtiar macam-macam untuk bagi mak sihat semula. Bila bawa balik ke rumah, kami nekad untuk cabut tiub dan bagi mak makan melalui mulut dan mak boleh terima keadaan itu. 

"Sekarang, mak semakin sihat walaupun lumpuh separa tubuh,” katanya kepada Sinar Harian semasa Program Ziarah Kasih anjuran Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM).

Hadir sama, Adun Kemayan, Dato' Mohd Fadil Osman, Ketua Peneroka Felda Sebertak, Ahmad Long dan Pengerusi MBFM Wilayah Mempaga, Azril Ramli.

Rahmah menggunakan tali yang digantungkan bagi membolehkan dia melakukan senaman ringan atau bangun untuk mengubah kedudukannya di atas katil.


Rosli berkata, dalam keadaan terlantar, ibunya terpaksa memakai lampin pakai buang dan perbelanjaan untuk itu sahaja kira-kira RM600 sebulan.

Katanya, perbelanjaan itu belum termasuk ubat-ubatan dan keperluan harian lain yang diperlukan ibu dan ayahnya.

Difahamkan sehingga kini, sama ada Rahmah mahupun Abu Kassim tidak pernah memohon bantuan kewangan daripada Pusat Zakat atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bercerita mengenai keadaan ayahnya, Rosli memberitahu, Abu Kassim terbabit kemalangan di kawasan kebun sawit di sekitar Felda Bukit Kepayang tujuh minggu selepas memasuki tanah rancangan.

Pada ketika itu, dia yang menyandang jawatan ketua blok berada dalam keadaan koma selama tiga bulan dan terlantar di hospital sepanjang tempoh itu.

“Selepas itu apabila ayah sedar, ayah dan mak balik ke Kedah untuk berubat. Lama juga ayah nak pulih sepenuhnya sebab keadaannya sangat kritikal pada waktu itu.

“Semasa kemalangan tu, bahagian pinggang dan kaki ayah dilanggar motosikal lain sebab itu dia lumpuh dan bergantung sepenuhnya pada kerusi roda,” katanya.

Walaupun demikian, Abu Kassim tidak perlu memakai lampin pakai buang tetapi setiap pergerakannya memerlukan bantuan orang lain.

Rosli berkata, sepanjang ketiadaannya di rumah untuk bekerja, ibu dan ayahnya akan diuruskan adiknya, Roslina, 47, yang juga kurang sihat berikutan masalah mental.

Katanya, walaupun beberapa kali dipaksa oleh kenalan untuk memohon bantuan zakat atau JKM, seboleh-bolehnya dia cuba mengelak kerana bimbang dikecam masyarakat sekeliling.

Beliau yang merupakan antara generasi kedua Felda yang aktif dalam komuniti dan NGO tidak mahu dikatakan sengaja mengambil kesempatan hanya kerana mempunyai kepentingan dalam setiap jawatan yang dipegangnya.

“Memang ramai yang minta saya mohon zakat, JKM tapi saya segan nak minta. Biarlah saya usahakan permohonan untuk orang lain dulu.

"Selagi saya dan beradik yang lain boleh menanggung dan menampung keperluan mak dan ayah, selagi itulah saya akan bertahan. Kalau ada rezeki mereka nanti, adalah. Kalau tiada, nak buat macam mana,” katanya.

Bagaimanapun, difahamkan Abu Kassim dan Rahmah ada menerima bantuan kerusi roda dan sebuah katil boleh laras turut disediakan oleh Pejabat Khidmat Rakyat Dun Kemayan dan Parlimen Bera.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor