
Kuala Lumpur - Malaysia mengecam pertempuran antara pasukan keselamatan Israel dengan rakyat Palestin semalam, di Tebing Barat yang mengorbankan tiga warga Palestin dan mengakibat ramai yang tercedera.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, pertempuran terkini merupakan perkembangan berbahaya yang boleh mengeruhkan lagi keadaan yang tidak menentu di wilayah-wilayah Palestin yang diduduki.
“Malaysia mengutuk penggunaan kekerasan oleh pasukan keselamatan Israel ke atas rakyat Palestin yang tidak bersenjata, dan menyeru semua pihak supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan di Bandar Lama Jerusalem.
Malaysia juga mengulangi pendiriannya bahawa Israel perlu memberikan akses tanpa sekatan kepada umat Islam untuk ke Masjid al-Aqsa dan menghentikan apa-apa tindakan yang boleh mengubah status quo tempat suci Islam itu.
“Kesucian tempat agama perlu dihormati,” katanya.
Menurut Wisma Putra, Malaysia menyokong usaha Raja Jordan, Raja Abdullah II bin Al-Hussein yang juga Penjaga Tapak Suci Jerusalem dalam membawa keamanan di kota suci itu.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor