Maritim Wilayah Timur memberi bantuan Medevac membawa seorang mangsa lemas di Pulau Tioman untuk dihantar menerima rawatan ke Hospital Rompin, malam kelmarin.
Pusat Operasi Maritim Malaysia Wilayah Timur (WILTIM) menerima panggilan pada kira-kira jam 7.52 malam, sebelum bot bantuan dihantar untuk membawa kanak-kanak berusia setahun itu.
Pengarah Maritim Wilayah Timur, Laksamana Pertama Maritim, Datuk Mamu Said Alee berkata, pihaknya mendapat maklumat seorang kanak-kanak lemas dan dirawat di Klinik Kesihatan Pulau Tioman dan perlu dibawa untuk rawatan lanjut ke hospital.
Menurutnya, Maritim Wilayah Timur menugaskan Bot Penggalang 14 membawa mangsa dari Pulau Tioman ke Tanjung Gemok untuk mendapatkan rawatan di Hospital Rompin.
“Bot Penggalang 14 tiba di jeti Pos Hadapan Maritim Tanjung Gemok, kira-kira jam 11 malam dan mangsa dikejarkan ke Hospital Rompin untuk rawatan lanjut.
“Mangsa, S Raajihesh berasal dari Selangor lemas ketika mandi bersama keluarganya di pantai Kampung Air Batang, Pulau Tioman.
“Mangsa diselamatkan oleh ibunya dan dihantar ke Klinik Kesihatan Pulau Tioman untuk menerima rawatan,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, aset-aset Maritim Malaysia sentiasa bersedia memberi bantuan tidak mengira waktu sekiranya berlaku kes kecemasan.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa memantau keselamatan anak–anak ketika beriadah di kawasan pantai bagi mengelakkan perkara tidak diingini.
Katanya, orang ramai boleh menghubungi terus Pusat Operasi Maritim Wilayah Timur yang beroperasi 24 jam di talian 09-5717345 atau melalui MERS 999 sekiranya berlaku kes-kes kecemasan di laut.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor