Pages

Saturday, May 20, 2017

‘SAYA TAK CUKUP DUIT NAK BELI HADIAH'


‘Saya tak cukup duit nak beli hadiah’


Seremban - "Saya tak cukup duit nak beli hadiah untuk cikgu, saya raba tengok kat kocek ada syiling 70 sen, jadi saya bungkus syiling tu dalam kertas dan tulis nama cikgu," kata adik Huda Batrisyia Syaiful Nizam,10.

Menurutnya, itu sahaja idea yang dia ada untuk beri hadiah kepada cikgu Jamaliah Amirul, sempena Hari Guru pada 16 Mei lalu.

Huda memberitahu, dia tidak pernah terfikir cara itu mampu memberi kesan mendalam kepada cikgunya.

"Setiap tahun bila tiba Hari Guru saya akan beri hadiah kepada guru kelas, selalunya emak akan buatkan hadiah untuk saya.

"Tapi pada tahun ini emak bagitahu tak ada barang yang boleh dijadikan hadiah, lalu saya korek duit tabung sebanyak RM2 lalu bawa ke sekolah.

"Untuk cikgu sekolah pagi saya belikan penanda buku berharga RM1, tapi untuk cikgu sekolah petang ( Kafa) saya tak dapat nak belikan, duit tak cukup sebab saya da beli makanan,"katanya.

Tambahnya, apabila melihat duit hanya berbaki 70 sen sahaja, Huda mengambil keputusan untuk memberi duit itu kepada guru kelas Kafanya sebagai hadiah Hari Guru.

Namun, tidak menyangka pula tindakannya itu menyebabkan gurunya terharu sehingga menyiarkan kisah itu di laman sosial sebelum ia menjadi tular.

Sementara itu, ibunya, Nurul Syahidah Yaakob,37, berkata sejak tiga bulan lalu hidup dia sekeluarga sangat tertekan berikutan suaminya tidak bekerja.

Katanya sebelum ini suaminya bekerja dalam urusan elektrik dan pendawaian, namun dia tidak terima bayaran yang sepatutnya sejak setahun lalu.

"Saya terpaksa bekerja sebagai cleaner untuk membantu suami disamping menguruskan perbelanjaan rumah.

"Banyak perbelanjaan terpaksa disekat, malah bil utiliti juga kami tidak mampu bayar kerana masalah kewangan.

"Termasuklah untuk membelikan hadiah Hari Guru anak-anak, saya ada lima orang anak yang semuanya masih bersekolah jadi kos untuk membeli juga agak tinggi,"katanya dengan nada sedih.

Kisah murid tahun empat yang memberi syiling 70 sen sebagai hadiah Hari Guru menjadi tular di laman sosial baru-baru ini sehingga mencuit perasaan banyak pihak.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor