Bagi merealisasikan Transformasi Nasional 2050 (TN50), golongan belia sepatutnya memikirkan sesuatu di luar kotak sebagai cadangan untuk dilaksanakan oleh kerajaan.
Mungkin ia dilihat seakan mustahil namun itulah angan-angan yang perlu ada kerana tempohnya lebih tiga dekad sebelum tiba pada tahun yang menjadi sasaran baharu bagi meletakkan negara pada tahap yang membanggakan.
Pengerusi Belia 4B Daerah Rompin, Mohd Haris Lutfi Abdul Khalid, berkata, golongan belia perlu melontarkan idea berkaitan TN50 ini ke arah masa depan iaitu melalui visi, aspirasi, inspirasi, bayangan dan imaginasi.
Menurutnya, idea mengenai sesuatu di luar kotak amat penting kerana negara perlukan sesuatu yang segar pada masa ini dan akan menjadi realiti pada 2050.
"Sebagai contoh yang boleh kita fikirkan adalah mengenai teknologi ketenteraan, tidak mustahil pada 2050 kita sudah memiliki teknologi senjata yang lebih canggih berbanding negara lain terutama negara kuasa besar.
"Tidak keterlaluan jika saya katakan mungkin pada waktu itu kita sudah memiliki teknologi nuklear sekali gus meletakkan negara pada tahap yang sangat berbeza berbanding sekarang," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Dialog TN50 Rompin Bersama Exco Belia dan Sukan Pahang, Datuk Mohd Johari Hussain yang turut dihadiri Pegawai Daerah Rompin, Datuk Mohd Zulkifli serta Timbalan Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Pahang, Nik Marzuki Nik Mat sebagai moderator di Rompin Beach Resort (RBR), di sini, malam tadi.
Pada majlis sama, lima tokoh melibatkan bidang akademik dan sukan turut diangkat sebagai Ikon Belia Daerah Rompin yang dipilih atas jasa serta pencapaian mereka di pelbagai peringkat.
Mohd Haris Lutfi berkata, bagi daerah Rompin pula secara peribadi beliau mencadangkan pembinaan sistem pengangkutan dasar laut iaitu jalan raya yang menghubungkan dari daratan daerah Rompin ke Pulau Tioman.
"Selain berfungsi sebagai jalan raya, ia juga dapat memberikan pengguna pengalaman berbeza apabila dihidangkan dengan pemandangan keindahan dasar laut yang ada di daerah ini," katanya.
Sementara itu, Mohd Johari yang ditemui berasa bangga dengan idea-idea yang dilontarkan oleh anak-anak muda yang sekali gus membuktikan mereka bersetuju dengan TN50 yang merupakan cetusan Perdana Menteri sendiri.
"Saya lihat malam ini mereka begitu ghairah untuk melontarkan idea-idea yang baharu menunjukkan ia perkembangan yang positif bagi mencapai hasrat TN50 ini," katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor