Pages

Thursday, May 18, 2017

PINDAH MINYAK DI TENGAH LAUT


Pindah minyak di tengah laut


Mersing - Sebuah bot nelayan ditahan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Pangkalan Maritim Mersing di Pulau Pelanduk, selepas disyaki menjalankan aktiviti pemindahan minyak di laut, Isnin lalu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Pangkalan Mersing, Leftenan Komander (M) Amiludin Yenggah berkata, perkara itu disedari selepas pemeriksaan lanjut dibuat ke atas sebuah bot nelayan kelas C.

“Hasil pemeriksaan vesel didapati melanggar syarat sah lesen di bawah Akta Perikanan 1985. Tekong dan awak-awak mempunyai pengenalan diri yang diragui.

“Hasil pemeriksaan lanjut vesel tersebut disyaki ingin melakukan aktiviti pemindahan minyak di laut kerana memiliki kapasiti minyak diesel yang lebih dari sepatutnya,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Amiludin berkata, bot itu ditahan oleh bot ronda APMM kira-kira 3.4 batu nautika utara Pulau Pelandok Johor.

Menurutnya, bot tersebut turut memiliki salinan surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang meragukan.

Ujarnya, tekong dan awak-awak turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959.

Dalam pada itu, beliau menegaskan pihaknya akan sentiasa meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan khususnya di kawasan perairan Mersing hingga Endau.

“Ini bagi mengelakkan aktiviti menyalahi undang-undang dan pencerobohan haram terus berleluasa,” katanya.

Beliau juga meminta orang ramai segera menyalurkan maklumat kepada pihaknya atas sebarang aktiviti pencerobohan nelayan asing, mahupun kecemasan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999.

“Peningkatan kerjasama agensi dan orang ramai terutama nelayan tempatan dalam memberi maklumat serta kerjasama yang baik kepada Maritim Malaysia sejak kebelakangan ini amat dihargai,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor