Sultan Ahmad Shah Enviroment Trust (SASET) menanam 22,600 batang pokok di daerah Maran bersama penduduk Kampung Luit, di bawah program Satu Rumah Satu Pokok, semalam.
Penaung SASET, Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Mu’Adzam Shah Sultan Ahmad Shah berkata, jumlah itu menjadikan sebanyak 52,600 batang pokok pelbagai jenis ditanam di Negeri Pahang, sejak dua tahun lepas .
Menurutnya, program ini bertujuan meningkatkan kesedaran sivik mengenai kepentingan flora kepada alam sekitar dalam kalangan masyarakat setempat, khususnya di Pahang.
"SASET berharap setiap rakyat menanam sekurang-kurangnya satu rumah satu pokok untuk mengurangkan kesan karbon dioksida dan rumah hijau. Sekali gus melahirkan generasi yang mencintai dan menghargai alam sekitar.
"Rakyat Pahang perlu komited bersama kerajaan dan SASET dalam usaha memelihara dan memulihara khazanah alam yang menjadi aset penting negeri ini .
"Adalah menjadi satu tanggungjawab rakyat Pahang mencintai dan menyumbang ke arah pembangunan alam semulajadi yang mampan agar terus kekal demi kelangsungan kualiti planet bumi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Kempen Satu Rumah Satu Pokok Peringkat Negeri Pahang di Dewan Arena Tengku Muda Pahang di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato' Sri Ismail Abd Muttalib; Adun Chenor, Dato' Mohamed Arifin Awang Ismail; Adun Kuala Sentul, Dato' Shahaniza Shamsuddin dan Adun Luit, Nurhidayah Mohd Shahaimi serta Pegawai Daerah Maran, Dato' Syed Ahmad Fuad Syed Taha.
Penananam pokok hari ini mendapat tajaan daripada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang sebanyak 300 pokok dan Jabatan Pertanian Negeri Pahang sebanyak 550 pokok.
Jenis pokok yang ditanam adalah dari jenis tumbukan berkayu seperti rambutan, jangka, nangis dan merawan siput jantan yang mampu mengurangkan karbon dioksida di udara.
Tengku Arif Temenggong berkata, kempen penananam ini akan diteruskan di seluruh pelusuk Negeri Pahang di mana sumbangan awal boleh ditunjukkan rakyat dengan memastikan setiap keluarga menanam sebatang pokok peneduh atau buah-buahan disekitar rumah.
Menurutnya, komitmen tinggi masyarakat dalam komuniti ini sangat membantu usaha kerajaan dan SASET mempromosi penjagaan alam daripada terus tercemar dan merugikan generasi pewaris.
Katanya, seluruh individu rakyat adalah pemangkin kepada Pemeliharaan, Pemuliharaan, Pembinaan serta Pengekalan kepada kesejahteraan bumi Pahang
"SASET diwujudkan pada 14 April 2011 sebagai tabung amanah untuk menjana dan menyalurkan dana.
"Di samping itu ia bertujuan bagi menerajui usaha pemuliharaan dan penjagaan khazanah alam semulajadi negeri di luar bandar, pendalaman dan perkampungan Orang Asli," katanya.
Tambah beliau, visi dan misi SASET sangat komited menjadi sebuah yayasan penggerak kepada usaha pemeliharaan dan pemuliharaan persekitaran dan juga warisan Pahang.
"Usaha mempromosi aalah konsisten bagi menggalakkan masyarakat untuk menghargai, mencintai dan menyumbang ke arah pembangunan alam semulajadi Pahang.
"Khazanah alam anugerah ALLAH ke atas Negeri Pahang sangat istimewa dengan hutan semula jadi yang unik yang bermanfaat kepada pembangunan ekonomi rakyat,"katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor