Pages

Thursday, May 25, 2017

[LIPIS] TANDAS AWAM KELAS PERTAMA


Tandas awam kelas pertama


Tandas awam suatu ketika dahulu sering dilihat membawa imej buruk.

Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini masyarakat dapat menikmati kemudahan tandas awam khususnya di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang semakin baik dan terurus.

Exco Perumahan dan Perbandaran Negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kebanyakan tandas awam disediakan kepada pengguna di negeri ini kini lebih teratur, bersih serta dihias cantik menggunakan pelbagai motif hiasan.

Menurutnya, setiap tandas disediakan khususnya di kawasan tumpuan awam seperti kawasan rehat dan rawat (R&R), rumah ibadah, kedai makan dan stesen minyak ada penjaga khas bagi menjamin kebersihan tandas tersebut setiap masa.

“Tahap kebersihan tandas awam di sekitar negeri ini semakin baik, sekali gus membawa imej yang baik kepada pelancong dalam dan luar negara yang datang sempena Tahun Melawat Pahang 2017.

“Kerajaan negeri sering memberi perhatian serius terhadap kebersihan tandas awam kerana ia menjadi satu tarikan kepada pelancong sekali gus membuktikan PBT mampu menyediakan kemudahan tandas awam kelas pertama kepada penggunanya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Kursus Pengauditan dan Star Rating Tandas Awam Bagi Ahli Majlis (PBT) Negeri Pahang 2017 dengan kerjasama Jabatan Kerajaan Tempatan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Majlis Daerah Lipis (MDL) di Dewan Residen Lipis di sini, semalam.

Hadir sama, Yang Dipertua MDL, Datuk A Rahman Hamzah dan Perunding Kanan Bahagian Perundingan Kesihatan Persekitaran Jabatan Kerajaan Tempatan, Rajendaran Kobalu.

Wan Rosdy yang juga Adun Jelai berkata, tanggungjawab menjaga kebersihan tandas awam termasuk di masjid dan surau di negeri ini bukan terletak di bawah PBT semata-mata, sebaliknya tanggungjawab semua pihak terutama masyarakat setempat.

Menurutnya, pengguna perlu ada pemikiran positif untuk bersama menjaga kebersihan tandas awam seperti menjaga tandas rumah sendiri.

“Walaupun terdapat petugas menjalankan kerja pembersihan secara berkala di tandas-tandas awam tersebut, saya amat berharap pengguna dapat bekerjasama untuk jaga kebersihan tandas awam ini. Sebagai pengguna, setiap daripada kita juga perlu membantu PBT menjaga kebersihan tandas kerana kebersihan adalah separuh daripada iman,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor