Putrajaya – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberi peringatan terakhir kepada peniaga supaya meletakkan tanda harga merah jambu bagi barangan di bawah Skim Kawalan Harga Bulan Ramadan (SKHBR) 2017.
KPDNKK berkata ini kerana, pemantauan penguat kuasa KPDNKK di seluruh negara mendapati terdapat peniaga yang tidak meletakkan tanda harga merah jambu pada barangan kawalan dan menjual mengikut harga biasa.
“Alasan yang diberikan adalah mereka tidak mendapat maklumat atau tidak sedar tentang pelaksanaan SKHBR 2017 ini,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
KPDNKK berkata penguat kuasa akan mengeluarkan notis amaran atau mengenakan kompaun ke atas peniaga yang melanggar pelaksanaan SKHBR 2017.
Pada 19 Mei lepas, Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin mengumumkan sebanyak 10 barangan disenaraikan dalam SKHBR 2017 selama 10 hari bermula 22 Mei hingga 31 Mei ini di seluruh negara.
Barang-barang berkenaan adalah kacang tanah; kacang hijau; telur ayam gred A, B dan C; kelapa biji; kelapa parut; gula pasir putih halus dan kasar serta tepung gandum.
Hamzah berkata skim itu pertama kali dilaksanakan berikutan cadangan orang ramai berhubung kenaikan harga barangan tertentu menjelang bulan Ramadan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor