Pages

Sunday, May 21, 2017

[KUANTAN] LPP SASAR KONSEP MINI ESTET PADI DIPERHEBAT


LPP sasar konsep mini estet padi diperhebat


Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menyasarkan konsep Mini Estet Padi (MEP) di negeri ini diperhebatkan agar pengeluaran padi dapat ditingkatkan.

Pengarahnya, Sawalludin Ahmad berkata, buat masa ini MEP sudah dilaksanakan di Chenor dan Maran membabitkan kawasan seluas lebih 400 hektar.

Menurutnya, LPP bertanggungjawab terhadap 893 hektar kawasan penanaman padi di luar jelapang.

"Justeru, LPP mahu lebih banyak kawasan penanaman padi menjalankan konsep MEP agar hasil padi bertambah.

"Bagaimana pun, kawasan Chenor dan Maran masih tidak dilaksanakan sepenuhnya,"katanya ketika ditemui pada program Sehari Bersama Penduduk Kampung Padang, semalam.

Hadir merasmikan, Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Pahang Datuk Shafik Fauzan Sharif.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Padang, Zainal Abidin Tahir.

Sawalludin berkata, projek MEP turut mendapat kemudahan tanggala tanah dan bekalan input perta nian seperti benih, baja tambahan, racun dan lain-lain secara kredit daripada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan dibayar balik selepas padi dijual.

Katanya, menerusi konsep MEP, gerak kerja penjadualan tanaman, pengurusan air, pengurusan musuh dan perosak tanaman serta penuaian dan penjualan tanaman dapat dilakukan secara yang lebih teratur dan serentak.

"Sekali gus meningkatkan kecekapan pengurusan ladang yang dapat mengurangkan kos dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan hasil padi,"katanya.

Dalam pada itu, Sawalludin berkata, hasil padi di kawasan Paya Pinang di kampung itu adalah 2.5 tan metrik berbanding sasaran 3.5 tan metrik.

Pada program itu, turut diadakan aktiviti mengemping oleh penduduk yang menjadi acara wajib pada musim padi masak.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor