Pages

Saturday, May 27, 2017

BUANG SAMPAH, TEBUS BARANG

Buang sampah, tebus barang



KOTA BHARU - Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) mengambil inisiatif tersendiri dengan memperkenalkan konsep 'buang dan tebus' sebagai menggalakkan orang ramai menjaga kebersihan.

Melalui kerjasama dengan sebuah syarikat tempatan, Kitar Pro Managment, setiap sampah kitar semula yang dibuang di tong yang direka khas, mereka akan dapat membuat tebusan berbentuk barangan.

Majlis perasmian acara itu dibuat oleh Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood di Madinah Ramadan perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini, semalam.

Turut hadir, Yang Dipertua MPKB-BRI, Datuk Zamri Ismail.

Menurut Fattah, melalui kaedah yang pertama kali diperkenalkan itu, secara tidak langsung mendidik masyarakat membuang sampah secara berhemah sekali gus menjaga alam sekitar.

“Kita mahu didik masyarakat supaya cakna kepada kebersihan, nampak sahaja sampah kutip dan buang ke dalam tong yang disediakan.

“Bukan itu sahaja, mereka akan dapat ganjaran melalui tebusan yang dibuat di kedai yang ditetapkan,” katanya.

Dalam pada Pengurus Kitar Pro Managment Tengku Mohd Fadhil Tengku Hamzah, 40, berkata, idea itu tercetus sekian lama apabila 10 tahun syarikat itu terlibat dalam program kitar semula.

Beliau yang juga anak jati Kelantan berkata, melalui kaedah itu, tong berkenaan akan keluarkan resit setiap kali sampah seperti botol dimasukkan dan boleh ditebus di kedai yang ditetapkan.

Menurutnya, buat permulaan, sebanyak lima unit tong disediakan di Kota Bharu dan akan diperluaskan termasuk ke negeri lain yang berminat.

Katanya juga, saiz tong tersebut bergantung kepada lokasi dan keperluan masyarakat setempat.

“Sistem ini pertama kali diperkenalkan di negara ini bagi didik masyarakat buang sampah secara berhemah.

“Dengan cara ini, mereka bukan sahaja buang sampah, tetapi dapat tebus barang,” katanya.




No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor