Larangan memburu rusa masih lagi berkuatkuasa di negeri Pahang dan tindakan tegas akan diambil kepada sesiapa yang memburu dan memelihara haiwan tersebut tanpa kebenaran.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Pahang (Perhilitan) Ahmad Azhar Mohamed berkata, rusa adalah sejenis haiwan yang dilindungi sepenuhnya dan ditegah sama sekali diburu atau dipelihara.
“Mereka boleh dikenakan tindakan di bawah seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar Tahun 1976/2010 denda tidak lebih RM50,000, penjara tidak melebihi 2 tahun atau keduanya sekali boleh dikenakan ke atas mereka yang melakukan pemburuan dan pemeliharaan secara haram.
“Larangan buru rusa berkuatkuasa sejak 1 November 2010 hingga akhir 2021. Populasi rusa di negeri ini makin kurang sebab kegiatan pemburuan haram itu dilakukan sebelum larangan dikuatkuasakan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Ahmad Azhar meminta kerjasama orang ramai melaporkan kepada Perhilitan jika sekiranya terdapat kegiatan memburu haiwan itu untuk diambil tindakan.
Pihaknya juga tidak teragak-agak untuk merampas kepala serta tanduk rusa yang dijadikan perhiasan rumah.
“Mereka yang hendak simpan perlu dapatkan permit dulu walaupun ia sudah diawet untuk perhiasan di rumah,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor