Pages

Wednesday, April 12, 2017

WANITA ASING, 2 LELAKI SINDIKET WANG PALSU DITAHAN


pdrm


Kuala Lumpur - Seorang wanita warga Thailand dan dua lelaki tempatan ditahan polis di sini semalam kerana disyaki terlibat sindiket pemalsuan wang.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata wanita berusia 38 tahun dan lelaki berusia 37 dan 45 tahun itu ditahan di sebuah hotel di Jalan Metro Pudu di sini dalam satu operasi oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju.

Setelah diperiksa, sejumlah 32 keping not RM100 dipercayai palsu ditemukan daripada mereka dan soal siasat lanjut pula membawa kepada penemuan sebuah mesin cetak, peralatan pemotong kertas dan telefon bimbit pelbagai jenama yang disimpan di sebuah rumah di Cheras, katanya ketika dihubungi Bernama.

"Seorang daripada suspek yang ditahan itu dipercayai dalang kegiatan ini," katanya.

Mohamad Roy berkata pada Isnin lepas, seorang daripada suspek dipercayai menggunakan sekeping not RM100 palsu untuk membuat pembayaran di tempat letak kereta di sebuah kompleks membeli-belah di Jalan Metro Pudu di sini. 

"Hasil laporan dan risikan yang dibuat polis, mereka berjaya ditahan," katanya.

Mohamad Roy berkata kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan polis.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 489D Kanun Keseksaan kerana membuat atau memiliki alat atau benda bagi pemalsuan mata wang kertas, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor