Sebuah bot nelayan Vietnam ditahan selepas dikesan menjalankan aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan Pulau Tioman, petang kelmarin.
Dalam operasi khas dijalankan dalam Zon Ekonomi Eksklusif (Zee) di perairan Pulau Tioman itu, tekong bot turut ditahan selepas cuba memberi suapan RM3,000 kepada pegawai maritim bagi mengelak dikenakan tindakan.
Timbalan Pengarah Maritim Wilayah Timur (Operasi), Kapten (Maritim) V Pannir Selvan berkata, pihaknya berjaya mengesan bot itu hasil maklumat nelayan tempatan dan rondaan Kapal Maritim (KM) Pekan di kawasan berkenaan.
Katanya, tekong terbabit bertindak memberi suapan kepada pegawai memerintah KM Pekan, Kapten (Maritim) Robert Teh Geok Chuan supaya melepaskan bot tersebut semasa ditahan, sekali gus mengelak daripada dikenakan tindakan.
“Setiap kali operasi dijalankan, nelayan asing sering menghulurkan suapan terhadap pegawai penguat kuasa yang melakukan operasi.
“Dalam operasi tersebut, kita menahan bot asing itu bersama tekong dan 17 awak-awak berusia antara 18 hingga 40 tahun yang tidak mempunyai pasport dan pengenalan diri sah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di sini, semalam.
Dalam pada itu, beliau berkata, hasil pemeriksaan awal yang dijalankan mendapati bot itu didaftarkan di Vietnam dan melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram di kawasan perairan negara menggunakan pukat tunda ganding yang tidak dibenarkan oleh kerajaan Malaysia.
“Dengan penahanan bot nelayan asing itu, kami merampas kira-kira 500 kilogram (kg) sotong kering, 250 kg ikan bercampur dan 50 kg ikan baja.
“Dianggarkan jumlah rampasan keseluruhannya bernilai RM1.05 juta dan berdasarkan pemerhatian, kapal tersebut baru sahaja berada di laut kerana hasil tangkapan yang diperoleh masih sedikit.
“Kesemua individu yang ditahan sudah dibawa ke jeti APMM Tanjung Sedili, Johor untuk tindakan lanjut untuk disiasat di bawah Akta Perikan 1985 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009,” katanya.
Sementara itu, Pannir berkata, nelayan tempatan perlu membuat aduan sekiranya terdapat nelayan asing menjalankan penangkapan secara haram dengan segera bagi mengelak mereka terlepas begitu sahaja.
“Nelayan perlu menggunakan kemudahan radio amatur yang ada untuk membuat sebarang laporan.
“Jangan tunggu apabila berada di darat baru laporan dibuat kerana kita boleh bertindak segera sekiranya aset-aset kita berada berhampiran lokasi mereka,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor