Kota Tinggi - Empat sahabat yang sesat di hutan dekat Gunung Panti di sini terpaksa minum air sungai sepanjang berada di hutan tersebut untuk mengalas perut.
Mohammad Nazhan Azhar, 19 berkata, dengan hanya berbekalkan air mineral sebotol setiap seorang mereka memulakan pendakian kira-kira jam 9 pagi semalam dan tidak menyangka akan tersesat.
Menurutnya, dia dan dua rakannya mengambil jurusan fotografi di Giatmara Pasir Gudang, mendaki gunung itu bagi mengambil gambar pemandangan untuk menyiapkan tugasan mereka.
"Kawan cakap nak sampai ke puncak ambil masa satu jam sahaja. Tetapi kerana tersalah ikut lorong, kami ikut laluan motor scrambler menyebabkan kami sesat sampai ke sungai.
"Masa tu kami sedar dah sesat dan hanya ikut arah arus sungai sehinggalah tiba di satu jambatan dan disitulah kami tidur. Masa tu talian telefon tak ada.
"Ini merupakan pertama kali saya sesat. Sebelum ni saya dah banyak kali panjat gunung. Malam tu masa tidur ada juga dengar benda-benda tapi saya buat tak dengar. Kami terpaksa minum bekalan air dari sungai kerana masa tu kami bawa air seorang sebotol,"katanya.
Dia yang turut bersyukur kerana pasukan penyelamat berjaya menjumpai mereka tidak menafikan merasa takut dan menyesal kerana tidak membuat persediaan terlebih dahulu sebelum memulakan pendakian.
Bagi rakannya, Muhammad Firdaus Zainal, 18 berkata, selepas beberapa ketika mendaki dia mula rasa tidak sedap hati namun tetap meneruskan perjalanan.
Katanya, trek yang dilalui seoalah-olah hilang begitu sahaja menyebabkan mereka tersesat.
"Saya dah rasa tak sedap hati tapi teruskan berjalan namun bila dah sampai atas rasa tak sedap hati makin kuat. Apabila kami meneruskan perjalanan trek terus hilang macam tu sahaja. Kami jangka dapat turun sendiri tapi akhirnya tersesat juga.
"Pada malam tu kami tidur bergilir-gilir. Dua daripada kami tidur manakala dua lagi berjaga setiap satu jam. Masa malam tu memang tak dinafikan kami ada dengar dan nampak macam-macam,"katanya.
Terdahulu, Muhammad Firdaus, Mohammad Nazhan bersama dua rakannya Muhammad Zariqh Iedeed Mustafa, 21; dan Muhammad Fakhrul Nazmi Sulaiman, 18; ditemui kira-kira 700 meter dari lokasi penemuan Perodua Kelisa yang dinaiki mereka.
Ketua Zon 2 Kota Tinggi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor, Al Hasra Mohamed berkata, kesemua mereka ditemui dalam keadaan selamat jam 11.55 pagi ini.
Menurutnya, anggota operasi dan menyelamat (SAR) dipecahkan kepada dua kumpulan terdiri daripada bomba, polis dan renjer hutan Jabatan Perhutanan Negeri Johor.
"Operasi SAR dimulakan selepas sesi perbicangan bersama semua agensi terbabit diadakan di Balai Polis Batu Ampat, pada kira-kira jam 11 pagi.
“Enam belas anggota daripada tiga agensi terbabit dan turut disertai empat orang awam yang juga waris kepada mangsa," katanya
Tambahnya, bagi tahun 2017 ia merupakan kes pertama yang dilaporkan bagi operasi mencari orang sesat di gunung itu.
Beliau juga memaklumkan, sepanjang tahun 2016 terdapat tujuh kes SAR orang sesat telah dilaporkan.
"Kita hendak nasihatkan kepada para pendaki agar daftar dengan pejabat perhutanan dan balai polis berhampiran sebelum memulakan pendakian.
"Gunung Panti mempunyai trek yang banyak jadi kita khuatir ia akan mengelirukan para pendaki, jadi kita mohon agar orang ramai dapatkan khidmat ranjer untuk keselamatan mereka,"katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor