Pages

Wednesday, April 5, 2017

MARIO GOMEZ MINTA GAJI TINGGI

Mario Gomez minta gaji tinggi: Presiden FAM



MASALAH gaji menjadi halangan besar mendapatkan bekas jurulatih pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Mario Gomez selaku pengendali skuad Harimau Malaya.

Berikutan itu, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, kedudukan pengendali dari Argentina tersebut sebagai jurulatih skuad negara masih belum muktamad.

"Mario minta gaji yang lebih tinggi daripada apa yang diperoleh semasa mengendalikan JDT...bagi saya, ini adalah skuad kebangsaan dan itu mungkin tidak dapat dipenuhi.

"Ini bukan kelab JDT. Saya tawar seberapa banyak dan dia (Gomez) kata hendak fikir dahulu sebab hendak lebih duit. Kemungkinan kita (FAM) tidak akan ambil dia, sebab kita pun tak ada duit," kata Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor.

Beliau berkata demikian dalam sesi pertemuan bersama lebih 40 pengamal media terdiri daripada ketua pengarang dan pengarang sukan media tempatan di Bangunan Sultan Ibrahim, di sini hari ini. 

Menurut Tunku Ismail yang baru menjawat jawatan itu pada 25 Mac lalu, Gomez belum membuat keputusan sama ada menerima atau tidak tugas sebagai jurulatih kebangsaan.

Sebagai rekod, jurulatih dari Argentina itu meninggalkan pasukan JDT dua hari sebelum perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah menentang Kedah pada Januari lalu.

Tunku Ismail pada sidang media selepas dilantik sebagai Presiden FAM pada Kongres FAM ke-53, mengumumkan Gomez sebagai jurulatih skuad kebangsaan manakala Datuk Ong Kim Swee pula akan mengendalikan skuad bawah 23 tahun negara.

Selepas pengumuman itu, Gomez secara langsung menyatakan hasrat melantik jurulatih pasukan Kedah, Tan Cheng Hoe sebagai penolong jurulatih.

Selain Cheng Hoe, Gomez juga memilih Raul Longhi iaitu penolong jurulatih JDT, jurulatih penjaga gol, Azmin Azram Abdul Aziz, jurulatih kecergasan dari luar negara dan koordinator pasukan daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). – Bernama




No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor