Pages

Tuesday, April 18, 2017

[LIPIS] CUAI ANTARA PUNCA KEBAKARAN


Cuai antara punca kebakaran


Faktor kecuaian termasuk terlupa tutup dapur gas selepas memasak dan tidak menutup suis perkakas elektrik selepas digunakan antara punca utama kes kebakaran rumah yang dikenal pasti di daerah ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lipis, Penolong Penguasa Bomba Haslizan Ramli berkata, kelalaian itu menyebabkan individu kehilangan tempat tinggal selain menanggung kerugian ribuan ringgit.

“Jika ingin memasak, perlu pastikan benda-benda lain yang ada di sekeliling serta perlu biasakan untuk tidak meletakkan objek seperti kain, tisu atau span berhampiran dapur gas.

“Paling utama jangan tinggalkan aktiviti memasak terutama ketika dapur gas masih menyala terutama keluar rumah untuk melakukan perkara lain, misalnya ingin membeli barang di kedai atau menyapu halaman,” katanya di sini, semalam.

Haslizan berkata, perbuatan merokok di dalam rumah juga perlu dihentikan kerana ia boleh mengundang kebakaran apabila tanpa sengaja atau sedar bara api dari puntung rokok terkena bahan mudah terbakar seperti tirai, karpet, sofa dan pakaian.

“Perokok perlu ada kaedah khusus untuk mematikan dan membuang puntung rokok iaitu dengan menggunakan pasir dan jangan hanya mematikan rokok sebelum membuangnya begitu saja.

“Banyak kejadian puntung rokok dibuang di tempat buang sampah ternyata belum benar-benar padam menyebabkan bara membakar kertas dan plastik yang ada lalu menyambar benda lain di sekitarnya,” katanya.

Menurutnya, kesedaran masyarakat termasuk kanak-kanak perlu sentiasa diberikan bagi memastikan insiden ini tidak terus berlaku.

“Kita percaya setiap insiden kebakaran boleh dielakkan apabila masyarakat mempunyai pendidikan dan kesedaran berkaitan punca-punca atau penyebab berlaku kebakaran di rumah masing-masing.

“Pasukan bomba sentiasa mengharapkan kerjasama daripada masyarakat dalam banyak perkara dan jika wujud kerjasama ini kita akan dapat mengurangkan risiko insiden sama ada kemalangan dan kebakaran,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor