KUALA LUMPUR - Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini mendedahkan lebih 1,000 daripada 3,000 tan sampah yang dibuang warga kota setiap hari merupakan sisa makanan yang pada asasnya tidak disentuh dan masih boleh dimakan.
Menyifatkan perkara itu sebagai menyedihkan, Tengku Adnan berkata pembaziran berkenaan tidak seharusnya berlaku dalam kalangan masyarakat yang sepatutnya mengamalkan sikap berhemat dan bijak berbelanja dalam kehidupan pada masa ini.
"...tuan-tuan dan puan-puan seringkali menyuarakan tentang kekangan kehidupan, harga mahal dan macam-macam masalah, sepatutnya tanya diri masing-masing.
"Hasil analisis yang dibuat oleh pegawai-pegawai saya ini amat membimbangkan. Kita perlu ingat, pembaziran adalah menyalahi ajaran agama dan saya rayu kepada semua tak kira Melayu, Cina atau India supaya janganlah membazir dan berpada-pada dalam berbelanja," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis Pengiktirafan Kawasan Yang Ditaraf A (Peringkat 1), Blueprint Penarafan Kebersihan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini.
Dalam pada itu, Tengku Adnan mengingatkan peniaga dan penjaja di sekitar ibu kota agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan jualan mereka atau berdepan tindakan pembatalan lesen perniagaan.
"Selain menaikkan harga, ada juga peniaga yang menyewakan premis mereka kepada pihak ketiga dengan harga berlipat ganda. Sekiranya kesalahan itu dikenal pasti, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tidak teragak-agak batalkan lesen perniagaan," katanya.
Katanya tindakan peniaga menaikkan harga juga dilihat seolah-olah mensabotaj kerajaan dengan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor