Bukit Puteri yang terletak berhampiran Pasar Besar Kedai Payang di sini, merupakan destinasi bersejarah terkenal di negeri ini dan menjadi tumpuan pelancong apabila mereka singgah di Pasar Besar Kedai Payang.
Terletak di lokasi strategik iaitu berhampiran dengan Istana Maziah dan Pejabat Pos Besar, Kuala Terengganu dengan memiliki keluasan tanah lebih kurang 0.688 hektar dengan ketinggian lebih kurang 200 meter dari aras laut.
Menurut sejarah, Bukit Puteri yang mempunyai ketinggian 200 meter dari aras laut ini mula dikenali apabila Sultan Baginda Umar menjadikan Bukit Puteri sebagai benteng pertahanan dalam menghadapi perang saudara pada tahun 1831.
Semasa perang saudara itu berlaku iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Mansur II (1831-1836), Sultan Muhamad I (1836-1839) dan Sultan Umar (1839-1876), ia dijadikan sebagai kubu pertahanan dengan kelengkapan beberapa meriam.
Selain meriam turut terdapat loceng (genta) ditempatkan di atas puncak Bukit Puteri itu.
Difahamkan, meriam-meriam itu terdiri pelbagai jenis buatan seperti dari Sepanyol, Portugis dan juga meriam buatan dari Tanah Melayu dengan nama berlainan seperti Seri Johor, Seri Bueh, Seri Jamior dan Laila Majnun.
Apa yang menarik perhatian mengenai meriam-meriam ini ialah salah satu daripadanya iaitu meriam ‘Seri Bueh’ atau lebih dikenali dengan nama ‘Meriam Beranak’ dan merupakan monumen pertama akan dilihat semasa menaiki bukit ini.
Malah, kedudukan meriam ini yang seolah-olah mempunyai hubungan, di mana terdapat sepucuk meriam besar yang menjadi ‘ibu’ kepada sepucuk meriam kecil di sisinya.
Oleh kerana saiz dan keadaan kedua-dua pucuk meriam ini lebih mirip kepada ‘ibu dan anak’ maka dengan itu ia lebih termasyhur dengan panggilan Meriam Beranak sehingga kini.
Genta bagi beri isyarat kedatangan musuh
Mengenai sebuah loceng besar atau dikenali sebagai genta pula. Genta pertama yang terdapat di atas bukit ini dikatakan dibuat pada zaman pemerintahan Sultan Omar (Sultan Terengganu yang ke-9) pada 15 Mei 1853.
Genta pertama telah dinamakan ‘Negara’. Adalah genta yang ada kini dibina pada tahun 1908 semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III.
Genta yang beratnya 175 kilogram itu diperbuat daripada tembaga kuning oleh seorang tukang bernama Wan Ali Wan Awang dengan dibantu oleh beberapa tukang lain dari Kampung Tanjung dan Kampung Paya, Kuala Terengganu.
Genta juga digunakan untuk sesuatu majlis atau memberitahu rakyat sekiranya ada musuh datang menyerang. Ini membolehkan rakyat bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Gua Puteri tempat simpanan peluru
Selain meriam dan genta, terdapat pelbagai lagi tinggalan sejarah yang ada di Bukit Puteri ini seperti Gua Puteri, kubur lama dan Rumah Api.
Gua Puteri ini juga dikatakan menjadi tempat menyimpan peluru dan ubat bedil pada masa dahulu. Di sebelah atasnya terdapat kesan-kesan sebuah singgahsana raja.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Muzium Negeri Terengganu, Mohd Saberi Muda berkata, Bukit Puteri kini diletakkan di bawah jagaan Muzium Negeri Terengganu dan menjadi aset pelancongan penting bagi negeri Terengganu.
“Ia dibuka kepada orang ramai dengan bayaran masuk untuk RM1 bagi orang dewasa dan 50 sen untuk kanak-kanak. Ia dibuka setiap hari mulai jam 9 pagi hingga 5 petang. Orang ramai akan dapat melihat keindahan bandar dan muara Sungai Terengganu dari atas bukit.
“Kita juga bertanggungjawab dalam memastikan ia terus terpelihara dan sentiasa komited dalam melakukan pembaikannya lokasi tersebut agar peninggalan sejarah ini sentiasa terus hidup’,” katanya.
Menurutnya, ramai pengunjung memilih untuk melawat tempat bersejarah itu pada musim sekolah cuti sekolah dan cuti umum malah bersempena dengan Visit Beautiful Terengganu 2017 turut menggalakkan lebih ramai pengunjung.
Dalam pada itu, Pertubuhan Persaudaraan Seni Silat Melayu Pantai Timur (Persima) dengan kerjasama Kelab Karyawan Lensa Negeri Terengganu (KLT) turut mengambil inisiatif menganjurkan program bagi mengembalikan kegemilangan Bukit Puteri pada setiap Sabtu bermula tahun lalu di puncak bukit itu.
Ahli Jawatan Kuasa Pesima dari Persatuan Seni Silat Gayung Pukulan Belebat, Dungun, Wan Hizham Wan Yusof berkata, Persima dan semua gabungan NGO yang menjayakan program ini membawakan satu konsep yang segar bagi menarik semula minat pelancong tempatan dan luar yang berkunjung ke Kuala Terengganu untuk naik ke Bukit Puteri.
“Konsep yang bertemakan pahlawan dan suasana Melayu lama diadaptasi bagi memberi peluang pelancong mengalami sendiri suasana pemerintahan zaman Kesultanan Terengganu Melayu Lama. Tetapi paling penting, melalui aktiviti yang dilakukan ini menarik lebih ramai pelawat,” katanya.
Menurutnya, melalui program yang diadakan itu, pelancong bukan sahaja dapat melawat tempat bersejarah tetapi berpeluang menjadi tetamu istimewa Bukit Puteri dengan disambut 'penyambut tetamu’ dan ‘pengawal’ yang menjaga tempat bersejarah itu,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor