Kuantan, 3.4.2017 - “Saya selalu ingatkan rakan-rakan Exco dan juga Pengerusi Jawatankuasa Tender (supaya) memilih mestilah dengan adil dan saksama,” kata Menteri Besar.
Sejak duduki jawatan itu lagi (25 Mei 1999), beliau serahkan jawatan Pengerusi Jawatankuasa Tender Negeri kepada;
Pegawai Kewangan Negeri (SFinO) – bagi bidaan projek negeri dan, Pengarah Pembangunan Negeri (SDO) – bagi bidaan projek persekutuan.
Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob sentiasa menekankan kepada Pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Tender Negeri supaya melakukan pemilihan ke atas bidaan yang berjaya bagi satu-satu tender berkenaan secara adil dan saksama.
“Saya selalu ingatkan rakan-rakan Exco dan juga Pengerusi Jawatankuasa Tender memilih mestilah dengan adil dan saksama,” katanya pada persidangan media sempena Persidangan Pertama Mengenai Urus Tadbir dan Integriti 2017 tengah hari Isnin, 3 April di sini.
“Adil dan saksama itu maknanya – Kalau misalannya orang itu tender terbaik, sangat layak (tetapi) dia kita (Jawatankuasa Tender) tak kenal; kita kena bagi. Tapi, kalau dia (pembida) masuk tender, dia paling tak layak (sunggupun) dia kawan kita (Jawatankuasa Tender); tak boleh bagi.
“Tapi, kalau dia (pembida berkenaan) layak, dia kawan kita (Jawatankuasa Tender); kena bagilah. Ini contoh. Maknanya, adil dan saksama itu meletakkan tempat kepada yang berhak,” katanya.
“Jadi, kena faham (tentang) adil dan saksama. Saya selalu juga ingatkan, (jika) boleh tolong, tolong. Jangan susahkan orang. Jangan pilih kasih, jangan (ada) kroni. Setakat ini di Pahang tak ada masalah,” katanya lagi.
Dato’ Sri DiRaja Adnan turut menjelaskan betapa sejak beliau menjadi Menteri Besar lagi – pada 25 Mei 1999; beliau membuat keputusan untuk tidak melantik diri sendiri sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tender Negeri.
Sebaliknya, beliau serahkan jawatan itu kepada Pegawai Kewangan Negeri (SFinO) bagi tender-tender melibatkan projek negeri, dan, Pengarah Pembangunan Negeri (SDO) bagi tender-tender melibatkan projek persekutuan.
“Orang ingat MB yang Pengerusi Jawatankuasa Tender, tidak... MB bukan ‘chairman’. Bila sudah ada (keputusan yang Jawatankuasa Tender Negeri buat), kontrak sudah siap dah apa semua ini; orang (pembida berkenaan) sudah dapat (menang tender, kemudian dilaksanakan) perjanjian dengan Kerajaan Negeri, baharulah MB ‘sign’,” tegasnya.
Kepada soalan tentang sama ada beliau berpuas hati dengan amalan urus tadbir sedemikian katanya, beliau secara keseluruhannya, memang berpuas hati tetapi percaya, masih ada lagi ruang-ruang yang perlu terus diperbaiki daripada masa ke samasa.
Ketika ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Paul Low yang turut hadir, dan duduk di sebelah mencelah, mengakui betapa komitmen kepimpinan negeri adalah tinggi dalam memastikan urus tadbir yang baik.
Yang disasarkannya ialah untuk memastikan agar komitmen yang serupa dapat diturunkan kepada peringkat bawah terutamaya di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan-pihak berkuasa tempatan.
“Saya ingat langkah Dato’ Paul untuk nak bawa kempen ini ke majlis perbandaran, majlis daerah, pihak berkuasa tempatan; adalah satu perkara yang baik. Sebab ia adalah juga antara jabatan-jabatan yang paling hampir dengan masyarakat,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.
Mengenai persidangan dua (2) hari anjuran bersama Yayasan Pahang (YP), Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerusi Pusat Urus Tadbir dan Integriti di Fakulti Pengurusan Indusrti (FGIC)nya dan Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia (MICG), beliau menyambut baiknya.
“Kita bernasib baik kerana dapat bersama-sama dalam ‘conference’ ini kerana ia melibatkan satu perkara yang amat penting iaitu mengenai ‘governance’ dan ‘integrity’.
“Dan kita juga berasa bertuah dapat bersama-sama dengan Dato’ Senator Paul (Low), menteri yang diberi tanggungjawab untuk menjaga hal-hal yang ada kaitan dengan ‘governance’ dan ‘integrity’,” katanya.
Selain Senator Dato’ Paul Low; yang turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur; Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri – Dato’ Norul Azali Sulaiman dan Dato’ Abu Bakar Harun;
SFinO, Dato’ Indera Roslan Harun; Pengurus Besar YP, Dato’ Mahmud Nawawi; Naib Canselor UMP, Prof Dato’ Dr Daing Nasir Daing Ibrahim; dan, Presiden, (MICG), Dato’ Yusli Mohd Yusof.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor