Pages

Thursday, April 6, 2017

[KUANTAN] PADAH SALAH PILIH KAWAN

Padah salah pilih rakan



Hanya kerana mahu memuaskan hati rakan, seorang remaja tergamak mencuri barang kemas ibunya selepas didesak rakan, hujung tahun lalu.

Dia yang hanya ingin dikenali sebagai Azli, 19, berkata, ketika itu dia tidak dapat berfikir secara rasional kerana terlalu didesak.

Menurutnya, dia mencuri gelang dan cincin milik ibunya pada waktu siang, ketika semua orang tiada di rumah.

“Pada masa itu, saya tidak fikir panjang kesan perbuatan mencuri kerana hanya mahu memuaskan hati kawan.

“Saya tiada pilihan selain mengaku mencuri selepas ibu buat laporan polis.

“Akibatnya saya dikenakan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) selama 150 jam dan saya menyesal dengan apa yang saya lakukan dahulu,” katanya

Azli berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program Khidmat Masyarakat di Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah, di sini semalam.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, sebelum dijatuhkan hukuman, dia sempat merasai pengalaman berada di dalam lokap selama seminggu.

Katanya, pengalaman pahit itu akan menjadi pengajaran kepadanya selepas ini.

Azli yang baru menjalani PKM selama 20 jam berharap dia dapat menjalani hukuman dengan sebaik mungkin.

Sementara itu Farid, 20, pula berkata, dia melakukan kesalahan memiliki motosikal curi dan dikenakan hukuman 240 jam.

Kini, hukumannya berbaki 70 jam sahaja dan dijangka tamat Mei depan.

“Saya ditahan di rumah kerana dituduh memiliki barang curi walaupun saya tidak tahu motosikal berkenaan adalah barang curi.

“Saya anggap ia kecuaian saya yang tak ambil berat barang yang dipinjam,” katanya yang baru mendirikan rumah tangga pada Februari lalu.




No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor