Pages

Tuesday, April 4, 2017

[KUANTAN] KERAJAAN NEGERI KAJI UNDANG-UNDANG RUMAH SEMBELIH

Shafik Fauzan Sharif



Kerajaan negeri sedang meneliti dan membuat kajian mendalam terhadap undang-undang Rumah Sembelihan Unggas di negeri ini bagi menjamin produk disembelih, halal dan bersih.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, kerajaan negeri giat meneliti undang-undang sedia ada untuk mewujudkan satu undang-undang baharu dengan mengambil kira semua aspek yang perlu di sesebuah rumah sembelihan.

Menurutnya, buat masa ini, hanya Rumah Sembelihan Ruminan yang mempunyai undang-undang lengkap daripada segi operasi dan pengurusan halal secara menyeluruh.

“Kita mahu rumah sembelihan unggas mematuhi konsep halalan toyyiban seperti ayam yang disembelih tidak diletakkan di atas lantai dan sebagainya.

“Justeru, kita sedang berusaha ke arah itu dan jika ia dilaksanakan nanti, Pahang akan jadi negeri pertama mempunyai undang-undang tersebut bagi Rumah Sembelihan Unggas,” katanya kepada pemberita, di sini.

Beliau berkata, selepas undang-undang itu dikuatkuasakan, rumah sembelihan yang ada perlu mematuhi semua aspek sebelum diberikan lesen.

Katanya, walaupun premis sembelihan unggas di negeri ini masih belum dilesenkan namun pemantauan berkala oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pahang tetap dijalankan.

“Terdapat kira-kira 180 premis yang menjalankan aktiviti penyembelihan unggas seperti ayam, itik dan burung di seluruh negeri.

“Saya harap kita akan mewujudkan satu undang-undang bersepadu untuk semua rumah sembelihan unggas agar ia halal dan baik seterusnya menjamin produk yang terbaik kepada pengguna,” katanya.




No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor