Pages

Saturday, April 1, 2017

KOREA UTARA MUSNAH MAYAT, HAPUS BUKTI BUNUH JONG-NAM?


Korea Utara Musnah Mayat Jong-nam, Hapus Bukti Bunuh


Seoul – Setelah berjaya mendapatkan kembali mayat Kim Jong-nam, abang tiri pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un, negara komunis itu dilaporkan sedia memusnahkan jasad tersebut.

Menurut media Korea Selatan, langkah itu perlu dilakukan untuk memusnahkan bukti penglibatan rejim diktator tersebut dalam pembunuhan kejam terhadap ahli keluarganya sendiri, kata seorang penganalisis tempatan.

“Pyongyang akan segera melupuskan mayat dan cuba untuk mematikan sahaja isu panas ini. Mereka sanggup bakar mayat sesiapa sahaja seterunya,” kata Kim Kwang-jin, penyelidik di Institut Strategi Keselamatan Negara di sini.

Bekas rakyat Korea Utara yang kemudian belot sebelum berkhidmat di pusat kajian itu malah berkata, Pyongyang akan mengisytiharkan Jong-nam mati akibat faktor semula jadi dan menyalahkan kontroversi kepada pihak lawan.


“Korea Utara bakal menyatakan konon mangsa yang dinamakan Kim Chol itu meninggal dunia sebab serangan jantung dan mendakwa musuhnya, Korea Selatan dan Amerika Syarikat sengaja mencetuskan drama,” katanya.

Jong-nam, 45, terbunuh setelah diserang dua wanita Asia Tenggara yang pantas menerkup mukanya dengan cecair ejen saraf maut VX di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, pada 13 Februari lalu.

Taktik jahat itu lazim dilakukan ejen perisikan Korea Utara di seluruh dunia dalam sebarang operasi kejam mereka terhadap musuh sejak zaman Kim Il-Sung sejak 1948 sebelum diwariskan kepada anaknya, Kim Jong-il pada 1972.

Malah apabila Jong-un berkuasa pada 2011, ratusan tokoh kerajaan waima saudara-mara sendiri dibunuh. Untuk rekod, Jong-nam beberapa kali cuba dibunuh lima tahun lalu tetapi gagal kerana dianggap sebagai pencabarnya.

Pembunuhan berprofil tiggi itu mencetuskan perbalahan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara, apabila duta masing-masing diusir sebagai persona-non-grata selain rakyat mereka dihalang daripada meninggalkan negara.

Krisis 46 hari itu berakhir pada Khamis selepas mayat Jong-nam dan tiga suspek warga Korea Utara yang diburu polis cuba bersembunyi di canseri misi diplomatik Pyongyang di Kuala Lumpur; selamat berlepas ke Beijing, China.

Rejim Pyongyang sehingga saat ini bagaimanapun enggan mengesahkan identiti mangsa sebagai Jong-nam sebaliknya bertegas ia adalah Kim Chol berdasarkan butiran dalam pasport Korea Utara yang dibawanya itu.

Malaysia namun telah secara rasmi mengesahkan identitinya sebagai Jong-nam hasil semakan bukti sampel DNA dan diperoleh terus daripada anaknya, Kim Han-sol sendiri yang berada di Macau, China dengan ahli keluarganya.

Apa yang menimbulkan misteri apabila jasad Jong-nam dihantar balik ke Pyongyang atas permintaan waris keluarga dan ini mencetuskan spekulasi kemungkinan Jong-un sendiri sebagai waris sah abangnya telah membuat tuntutan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar enggan mendedahkan siapakah waris yang membuat permohonan itu kerana sebelumnya, keluarga Jong-nam di Macau memberi izin kepada Malaysia untuk mengurus jasad mendiang.

Pada masa sama, desas-desus bertiup kencang di Korea Selatan menyatakan jirannya bebas memusnahkan bukti termasuk menghancurkan mayat tersebut berbanding disemadikan di dalam tanah dan dibina sebuah kubur khas.

“Ini juga untuk mengelakkan jasad Jong-nam menjadi tumpuan utama penentang rejim mendapat inspirasi bagi melancarkan gerakan pemberontakan rampasan kuasa atau penggulingan terhadap Jong-un,” kata Kwang-jin.

Profesor Pengajian Korea Utara di Universiti Dongguk, Kim Yong-hyun pula berpendapat, kewujudan Jong-nam dan pembunuhan mendiang adalah seperti kotak rahsia yang tidak dapat diketahui oleh rakyat negara itu sendiri.

“Segala-galanya akan dibuat secara rahsia dengan prosedur minimum,” katanya. Namun ujarnya, mendapatkan semula mayat Jong-nam tidak akan menyelesaikan masalah akibat daripada pembunuhan ala era Perang Dingin.

“Kes ini telah ditutup untuk sekarang dan pertukaran mayat adalah kemenangan kecil kepada Korea Utara,” kata Chang Yong-seok, penyelidik kanan Institut Pengajian Keamanan dan Penyatuan di Universiti Kebangsaan Seoul.

Tetapi Pyongyang telah mengalami “kerosakan tidak boleh diperbaiki” akibat pembunuhan Jong Nam, yang mengukuhkan imej tidak berperikemanusiaan dan samseng waima dengan negara sahabat diplomatiknya.

“Ia contoh jelas keganasan Pyongyang. Sama ada Korea Utara mengaku memang bunuh Jong-nam atau berpura-pura tidak tahu, semua orang tahu siapa yang melakukannya,” jelas beliau lagi.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor