Terima dana hampir RM60,000 hasil sumbangan orang awam dan pelbagai pihak serta pertubuhan, keluarga bayi derita usus terkeluar, Muhammad Rafa Mikail mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua.
Ibu Mikail, Nurul Syahfika Kamarul Aiani, 20, berkata, dengan jumlah itu dapat beliau gunakan sebaiknya untuk tujuan perubatan dan kos perbelanjaan bulanan Mikail lebih kurang RM1,000 sebulan.
Menurutnya, perbelanjaan tersebut meliputi kos perubatan, pembedahan, pembiayaan hospital, lampin pakai buang, susu serta kos ulang alik ke tiga buah hospital sebulan, iaitu Hospital Jengka, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.
"Alhamdulillah kurang sebulan kisah anak saya dipaparkan media massa dan sosial, kami terima sumbangan yang melimpah ruah. Ramai pihak datang menziarah dan berikan bantuan kewangan termasuk Adun Pulau Tawar, Parlimen Jerantut, Penghulu Mukim, agensi dan pertubuhan serta kelab-kelab dan persendirian.
"Malah permohonan bantuan Zakat serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pun dah diluluskan untuk Mikail. Saya dan suami Shafiq Mohd Refee, serta keluarga bersyukur dan berterima kasih atas perhatian diberikan semua. Hanya ALLAH SWT yang dapat membalas jasa anda semua," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Dalam pada itu, Nurul Syahfika berkata, Mikail akan menjalani pembedahan pada 18 Mei nanti untuk menutup salah satu lubang najis yang ditebuk dia kedua-dua belah perut anaknya.
"Pada 16 Mei Mikail perlu masuk wad dulu dan dia kena puasa sebelum bedah. Saya mohon orang ramai doakan pembedahan berjalan lancar serta keselamatan anak saya. Doa anda semua amat bermakna buat kami sekeluarga," katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor