Generasi muda perlu menjauhkan diri daripada menonton video dan gambar pornografi di media sosial, laman web, blog mahupun mana-mana laman sesawang di Internet.
Ahli Jawatankuasa Fatwa Perlis, Abdul Hadi Osman berkata, ia kerana perkara itu boleh membawa kesan buruk kepada generasi muda serta mendorong kepada perlakuan zina.
“Generasi muda perlu menjauhkan diri daripada pornografi yang berbahaya ini dan perlu menasihati juga kepada rakan-rakan yang lain.
“Umat Islam khususnya perlu tahan lasak dan perlu menjauhkan diri daripada perbuatan zina,” katanya semasa ucapan sempena seminar virus pornografi perosak generasi di Dewan Kuliah Utama, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, Pengarah PTSS, Dr Mohd Zahari Ismail dalam ucapannya menasihatkan generasi muda supaya memahami apa yang telah diterjemahkan dalam seminar itu kepada masyarakat supaya dapat membantu mengatasi masalah tersebut.
“Penganjuran seminar ini adalah untuk memberi pendedahan kepada masyarakat terhadap pornografi yang terdapat di alam siber dan dengan adanya program ini diharapkan ia dapat membantu menurunkan masalah sosial yang berlaku di negara kita.
“Dasar kerajaan yang memberikan dasar terbuka dalam dunia siber ini menjadikan institusi pendidikan perlu bertanggungjawab untuk membentuk masyarakat hari ini menjadi masyarakat yang berilmu dan institusi perlu membentuk generasi muda yang seimbang antara dunia dan akhirat,” katanya.
Program yang julung kali diadakan itu turut melibatkan penyertaan seramai 300 pelajar dari pelbagai institusi pendidikan di Perlis.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor