“Sebelum ni jari kaki saya saja dipotong, namun keadaan penyakit kencing manis yang makin teruk menyebabkan doktor ambil keputusan potong kaki saya hingga paras bawah lutut," kata suri rumah, R Thavarmany, 58.
Thavarmany mula menghidap penyakit tersebut sejak lebih tiga tahun lalu.
Menurutnya, akibat penyakit itu, dia terpaksa menjalani pembedahan setahun lalu bagi memotong kaki kanan dari paras bawah lutut bagi mengelakkan nyawanya terancam.
“Selepas hilang kaki kanan, pergerakan saya mula terbatas dan segala urusan berkaitan pengurusan diri serta kerja rumah kini bergantung sepenuhnya pada suami (R Jeyakumar, 58), anak bongsu dan cucu yang tinggal bersama kami.
“Lebih menyukarkan keadaan apabila segala perbelanjaan rumah dan kos perubatan ditanggung sepenuhnya oleh suami yang hanya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan tak seberapa.
“Tambahan pula saya jaga lima cucu berusia antara 5 hingga 15 tahun dan kesemua mereka bersekolah serta memerlukan perbelanjaan yang banyak,” katanya.
Dia berkata demikian ketika menerima kunjungan Exco Kemudahan Asas dan Alam Sekitar, Dato' Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak yang hadir menyampaikan sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM3,000, di Taman Jelai, Benta di sini, kelmarin.
Thavarmany berkata, dia bersyukur dan gembira di atas pemberian sumbangan tersebut, sekali gus dapat meringankan beban mereka sekeluarga.
“Terima kasih kerana datang jenguk dan beri sumbangan kepada saya, hanya tuhan yang dapat balas budi baik mereka.
“Lawatan serta sumbangan yang diberi amat besar maknanya kerana ini adalah tanda ingatan dan prihatin pemimpin, masyarakat kepada saya. Ia seakan-akan penawar, semangat kepada saya,” katanya.
Sementara itu, Mohd Soffi yang juga Adun Benta berkata, program itu adalah usaha ke arah mendekati masyarakat sejajar dengan seruan pucuk pemimpin supaya menyelami kehidupan pelbagai lapisan masyarakat.
“Kita akan menemui golongan kurang bernasib baik di setiap peringkat kepimpinan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sebaik menerima laporan untuk menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor