Pages

Thursday, March 23, 2017

TERIMA PADAHNYA JIKA MASIH INGKAR!


Sultan Ibrahim Sultan Iskandar


Johor Bahru - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani enakmen untuk mencegah penggunaan tidak wajar bagi lambang, gelaran dan anugerah Negeri Johor.

Baginda Tuanku bertitah, penguatkuasaan menerusi enakmen tersebut diharapkan dapat dilakukan dengan segera bagi mengawal penyalahgunaan lambang kerajaan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mengelirukan orang ramai.

"Selepas ini, mana-mana orang yang membuat, menjual, menggunakan atau mempamerkan lambang-lambang yang dilarang seperti jata kerajaan negeri atau mahkota Johor, maka mereka boleh dikenakan hukuman denda minimum RM250,000 atau satu tahun penjara.

"Begitu juga dengan individu yang menggunakan gelaran atau anugerah yang dia tidak ada hak untuk menggunakannya atau yang telah dibatalkan, maka mereka juga boleh dikenakan hukuman denda minimum RM100,000 atau satu tahun penjara," titahnya pada Majlis Istiadat Sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan Rasmi Sultan Johor 2017 di Istana Besar Johor, di sini hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah, dengan adanya undang-undang berkenaan, baginda Tuanku berharap tiada lagi kes-kes penipuan yang melibatkan lambang dan anugerah yang berlaku.

Titahnya, malah tiada lagi penyalahgunaannya kerana lambang kerajaan adalah simbol kedaulatan negeri yang mesti dijaga dan bukannya boleh digunakan atau dijual sesuka hati.

"Saya berharap kerajaan akan membuat hebahan yang meluas dan terperinci mengenai perkara ini, dan memberikan tempoh yang sewajarnya untuk mereka membuka dan menghapuskan lambang-lambang tersebut.

"Selepas daripada itu, jika masih ada lagi yang degil dan ingkar, maka terimalah padahnya apabila ditangkap oleh pihak polis," titahnya.

Sultan Johor bertitah, pada tahun ini, baginda Tuanku berkenan mengurniakan Darjah dan Pingat Kebesaran Negeri Johor kepada beberapa individu yang layak berdasarkan kepada merit dan taat setia individu itu kepadanya dan Kerajaan Johor.

Titahnya, Darjah Kebesaran Negeri Johor itu amat tinggi nilainya dan tidak ada sesiapa yang boleh memberi cadangan nama, kecuali atas titah perkenan baginda Tuanku sendiri.

"Oleh itu, suka saya ingatkan terutama kepada orang di luar Johor supaya jangan tertipu jika ada orang yang mengatakan Darjah Negeri Johor boleh dibeli dengan bayaran wang ringgit.

"Tetapi jika masih ada yang sanggup ditipu, terpulanglah. Jangan salahkan saya," titahnya.

Terdahulu, Sidang Dewan Negeri Johor meluluskan Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Johor 2017 pada 9 Mac lalu.

Rang Undang-Undang tersebut diluluskan selepas semua 15 Fasal dalam enakmen berkenaan dibacakan dengan mendapat sokongan majoriti Adun.

Kerajaan Johor membentangkan rang undang-undang baharu bagi menubuhkan enakmen itu sebagai langkah mengelak berlaku penyalahgunaan lambang, gelaran dan anugerah oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Antara fasal yang terdapat dalam enakmen itu termasuk larangan penggunaan tidak wajar lambang, gelaran atau anugerah, menggunakan gelaran atau anugerah yang dibatalkan atau ditarik balik dan membuat lambang atau tanda kebesaran anugerah tidak diiktiraf.

Enakmen berkenaan turut menyebut mengenai membuat peralatan untuk membuat lambang atau tanda kebesaran anugerah tidak diiktiraf dan memiliki peralatan atau material untuk membuat lambang atau tanda kebesaran anugerah tidak diiktiraf.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor