Pages

Wednesday, March 15, 2017

[TEMERLOH] LELAKI BUTA GIGIH SARA KELUARGA


Lelaki buta gigih sara keluarga


Cacat penglihatan pada kedua-dua matanya tetapi masih mampu menyara keluarga dengan bercucuk tanam.

Malah, lebih menakjubkan apabila dia juga mampu membaiki kerosakan pada beberapa mesin pertanian seperti pam dan mesin bajak.

Senapi Hashim, 56, bapa kepada tiga anak di Kampung Paya Kechik di sini, juga mempunyai isteri yang buta kedua-dua matanya tetapi masih mampu membuatkan masyarakat kagum apabila mencari rezeki dengan bercucuk tanam bagi menambah pendapatan keluarga.

Walaupun menerima bantuan bulanan daripada Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM), tetapi Senapi memanfaatkan sepenuhnya ilmu bertani yang diperoleh ketika mendiami Taman Harapan iaitu sebuah pusat pertanian bagi golongan cacat penglihatan di sini.

Menurutnya, ilmu bercucuk tanam yang ada padanya itu digunakan sepenuhnya untuk menanam kangkung, kacang panjang dan cili.

“Saya menyewa di sini, apabila mendapat tahu kawasan keliling rumah ini tidak digunakan tuan tanah, saya minta izin untuk berkebun.

“Alhamdulillah... dengan kemahiran yang ada dapat juga menambah pendapatan apabila hasil sayur-sayuran yang ditanam dibeli peraih dari pasar Temerloh,” katanya.

Senapi berkata, dia menjadikan hobi berkebun sebagai sumber pendapatan sampingan kerana sudah berpengalaman lebih 10 tahun terlibat dalam pertanian.

Katanya, selepas mendapat ilmu di Taman Harapan dia membuka tanah berkeluasan 0.4 hektar di Kampung Sungai Gau dengan menanam pelbagai jenis sayur-sayuran dan hasilnya digunakan bagi menyara keluarga.

“Selepas berpindah kat sini saya meneruskan hobi berkebun ni untuk sara keluarga, dapatlah tampung belanja anak-anak ke sekolah.

“Sekarang memang niat saya mahu membesarkan tanaman ini, tapi mempunyai kekangan peralatan dan harap pejabat pertanian dapat bantu pasang paip dan junjung untuk tanaman kacang serta timun,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Pertanian Daerah Temerloh, Shaharudin Ramly berkata, pihaknya sentiasa memandang tinggi usaha yang dilakukan Senapi untuk menyara keluarganya dengan bercucuk tanam.

Menurutnya, pihak jabatan pertanian akan membekalkan ilmu pertanian moden khususnya fertigasi bagi membantu Senapi untuk memperoleh hasil yang lebih baik.

“Kita sudah lihat usaha yang dilakukan Senapi dan sentiasa memantau projek pertanian yang dijalankan ini supaya terus berkembang seterusnya dapat meningkatkan pendapatannya,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor