Pages

Wednesday, March 22, 2017

[TEMERLOH] BIMBANG H5N1 MEREBAK KE PAHANG


Bimbang H5N1 merebak ke Pahang


Penternak ayam kampung di sini bimbang wabak selema burung (H5N1) yang melanda Kelantan akan merebak di negeri ini menerusi penyebaran melalui ayam sabung.

Mohd Nasir Ishak 45, berkata, walaupun tiada bukti kukuh yang boleh dikaitkan dengan penyebaran wabak itu, tetapi dia menggesa Jabatan Perkhidmatan Veterinar supaya melakukan pemantauan yang lebih terperinci.

Menurutnya, berdasarkan cerita dari mulut ke mulut, ayam sabung dari Kelantan yang berharga puluhan ribu ringgit setiap ekor terpaksa di seludup ke Pahang bagi mengelakkan dimusnahkan oleh agensi terlibat.

“Kerajaan bayar pampasan RM10 bagi setiap ekor ayam kampung yang dimusnahkan di negeri itu, jika harga ayam sabung yang mencecah RM30,000 seekor sudah tentu mereka tidak sanggup untuk bunuh ayam sabung mereka.

“Memang tidak ada bukti kukuh penyeludupan ayam sabung dari Kelantan ke Pahang... tetapi potensinya tetap ada, sekiranya benar berlaku sudah tentu akan mendatangkan risiko kepada penternak ayam kampung di Pahang.

“Ayam sabung yang di seludup dan dibela sementara waktu oleh saudara mara atau kenalan pemilik sebenar di kampung-kampung juga boleh menyebarkan virus berbahaya itu,” katanya.

Mohd Nasir berkata, melalui ayam sabung seludup yang dibela penjaga sementara di kampung-kampung kemudian akan merebak ke ayam kampung, burung dan ayam hutan.

Menurutnya, penyebaran virus berbahaya ini akan berterusan apabila agen pembawa virus ini berada berhampiran dengan ladang ayam kampung komersial.

“Kita bimbang H5N1 ini akan menular ke ladang komersial penternak ayam kampung seterusnya menyebabkan kerugian pula di kalangan penternak di sini. Bagi mengelakkan perkara ini berlaku Jabatan Perkhidmatan Veterinar digesa mengambil langkah yang perlu dengan mengawasi pintu masuk sempadan,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor