ADABI Consumer Industries Sdn Bhd Malaysia (Adabi) sekali lagi menafikan Sos Tiram Adabi adalah keluaran syarikat itu.
Presidennya, Adrian Roslan berkata, sebelum ini lagi perkara ini timbul apabila ramai pengguna keliru dengan produk sos tiram Adabi.
Ini kerana, ‘Sos Tiram Adabi’ dengan label berwarna hijau, lengkap dengan logo dan tulisan yang sama dengan Adabi.
“Perkara ini sudah lama berlaku, sejak tahun 2000 lagi. Sejak itu, kami sering membuat penjelasan kepada pengguna, ia bukan keluaran Adabi.
“Pada masa sama, kami juga ada bertemu syarikat berkenaan supaya mereka menghentikan daripada terus menggunakan nama dan logo Adabi untuk produk sos tiram tersebut.
“Tetapi ia tidak diendahkan. Kes ini sudah pun jadi kes mahkamah. Tahun lalu, kami sudah kemukakan kepada pihak mahkamah supaya syarikat berkenaan menarik semula nama dan logo, namun kes ini masih lagi berjalan,” katanya kepada Sinar Harian Online.
Baru-baru ini tersebar tular mengenai Sos Tiram Adabi dengan label berwarna hijau menjadi kekeliruan pengguna apabila di belakang labelnya tertera nama syarikat lain. Tidak hanya nama malah, label ini turut disertakan dengan logo Adabi.
Ia terus menjadi tanda tanya apabila Adabi pada masa sama turut mengeluarkan jenama lain iaitu Sos Makanan Laut yang fungsinya juga sama dengan sos tiram.
Adrian ketika diminta mengulas perkara ini berkata, kerana prosiding mahkamah yang terus berjalan, Adabi mengambil keputusan untuk mengeluarkan satu lagi jenama makanan iaitu Sos Makanan Laut (Seafood Sauce) pada tahun lalu.
“Ya, memang kami keluarkan sos makanan laut itu. Kita tidak mahu pengguna semakin keliru dengan produk-produk kami, kerana itu pendekatan ini kami ambil.
“Penjualan juga semakin memberangsangkan. Pengguna sudah tahu membezakan yang mana produk asli keluaran Adabi. Mereka juga boleh melihat di belakang label botol di mana tertera nama syarikat yang mengeluarkan sesuatu produk,” katanya.
Jelasnya, biarpun masih menunggu proses mahkamah berlangsung, Adabi turut menjalankan kempen-kempen untuk terus memberitahu pengguna mengenai produk-produk keluaran Adabi.
“Produk Adabi yang tulen akan disertakan dengan tagline kami iaitu ‘Bersih dan Asli’. Jadi kepada pengguna yang biasa dengan produk-produk kami, mereka sudah tahu.
“Inilah kelainan kami. Kami sedar, jenama Adabi sememangnya dipercayai ramai sejak dahulu lagi. Jadi kami akan terus memastikan kesemua produk kami bermutu tinggi dan asli,” katanya.
Tambahnya, Adabi akan terus memberi penjelasan kepada pengguna mengenai perkara ini.
“Kami tidak mahu pengguna keliru. Kami mahukan yang terbaik buat pengguna kami dan berharap perkara ini akan dapat diselesaikan dengan cepat.
“Selain media, kami juga sentiasa berkomunikasi bersama pengguna di laman-laman sosial supaya setiap pertanyaan akan dapat maklum balas segera,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor