SHAH ALAM - Kesediaan penceramah terkenal Dr Zakir Naik untuk bertemu peguam Siti Zabedah Kasim atau Siti Kasim akhirnya menemui titik noktah apabila Siti Kasim menolaknya.
Siti Kasim menerusi status laman sosial Facebooknya berkata, debat yang diusulkan tersebut hanyalah satu cabaran tidak sepatutnya.
Menurutnya, mengapa hanya dia dan Asiah Abdul Jalil yang disebut-sebut untuk berdebat sedangkan, dalam saman tersebut terdapat 19 orang yang mengutarakan perkara sama.
“Ini amat ketara, mereka di sebelah sana menggunakan isu gender. Adakah mereka fikir wanita tidak berani berhadapan isu ini.
“Jika berfikir saya mengalami obsesi tidak rasional dan tidak produktif dengan apa yang orang lain fikir, mereka boleh kekal sebagai keldai selama-lamanya. Jadi berhenti buang masa saya,” katanya.
Sementara itu, Asiah dalam satu komen di laman Facebooknya turut menolak untuk berdebat dengan Dr Zakir.
Katanya, ia hanya akan menjadi sub judice terhadap kes sivil terhadap saman yang dikemukakan pihaknya bersama-sama 19 yang lain.
Terdahulu, Pegawai Khas Pejabat Penasihat Perdana Menteri, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya mencadangkan agar satu debat diadakan antara Dr Zakir dan Siti Kasim.
Menurutnya, pertemuan itu adalah satu cara positif dan terpulang kepada kedua-dua pihak ingin mengadakannya secara diskusi, perbincangan biasa mahupun debat.
Jika tidak, Fathul Bari berpandangan, ia sekadar perjuangan yang bersandarkan kepada retorik.
Siti Kassim sebelum ini mendakwa Dr Zakir adalah lelaki berbahaya dan ekstremis yang tidak sepatutnya dibenarkan berada di Malaysia.
Beliau bersama 19 rakyat Malaysia yang lain telah memulakan prosiding undang-undang terhadap kerajaan, manakala empat yang lain untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi mengisytiharkan pendakwah Dr Zakir sebagai ancaman kepada keselamatan negara.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor