“Keadaan rumah macam tongkang pecah. Kelima-lima bilik diselongkar. Kain baju dalam almari semua habis dibawa keluar dan dilonggokkan...pinggan mangkuk, periuk belanga dan segala barangan dalam rumah habis disepahkan.
“Kalau nak kemas sendirian, seminggu belum tentu habis jadi terpaksalah akak minta anak ambil cuti untuk bantu berkemas,” kata Roziah Abdullah, 57, mangsa kes pecah rumah di Kampung Janglau, Rompin, kelmarin.
Dalam kejadian itu, Roziah yang juga Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Janglau, rugi lebih RM3,000 apabila set perhiasan mutiara termasuk yang baru dibeli dan belum dipakai lesap dikebas pencuri.
Katanya, mujur dia tidak menyimpan wang di rumah kecuali sejumlah mata wang asing yang turut lesap.
Menurutnya, kejadian itu disedari anak lelakinya yang singgah untuk menutup lampu sebelum ke tempat kerja.
Roziah berkata, anaknya itu tidur di rumah selepas menghantarnya menaiki bas ke Kuala Lumpur tapi dia berasa berat hati untuk pulang dan bermalam di rumah mentuanya.
“Pagi tu masa dia balik, jiran sebelah datang beritahu motosikalnya hilang malam tersebut tapi tak sangka pula kami pun terima nasib sama.
“Lepas anak buka pintu, dia terkejut melihat keadaan dalam rumah berselerak dan dapati tingkap dapur terdapat kesan dirosakkan berkemungkinan pencuri masuk melalui bahagian itu,” katanya.
Dia berkata, anaknya sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
Penjawat awam itu berkata, kejadian itu bukan pertama kali berlaku ke atas dirinya sebaliknya sudah tiga kali rumahnya dipecah masuk.
“Kali ni situasi agak pelik sebab pencuri seolah-olah bukan nak mencuri sahaja sebaliknya seperti nak bermain-main dan khianat.
“Mungkin juga dia cuba khianat dengan sepahkan segala barang dalam rumah ini sebab tak jumpa wang atau barang berharga seperti diharapkan.
“Saya juga rasa pencuri bukan bersendirian sebaliknya lebih daripada seorang dan kemungkinan ada wanita dan turut membawa kanak-kanak,” katanya.
Menurutnya, dia difahamkan, hasil pemeriksaan polis menemui kesan cap jari kanak-kanak di almari hiasan yang turut diselongkar.
“Semalam (kelmarin), akak ada dengar cerita katanya penduduk kampung sebelah didatangi perempuan bersama seorang kanak-kanak. Wanita itu menangis seolah-olah nak minta tolong.
“Pemilik rumah yang curiga dengan wanita itu tidak buka pintu sebaliknya gertak nak telefon polis. Lepas itu wanita berkenaan beredar dan pada masa sama sebuah kereta dipandu seorang lelaki tiba dan ambil dia,” katanya.
Roziah berkata, individu mencurigakan itu mungkin terlibat dengan kes pecah rumah yang berlaku.
Sementara itu, Ketua Biro Keselamatan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Kampung Janglau, Rosli Harun berkata, kes pecah rumah di kampung itu sudah berlaku beberapa kali sebelum ini.
Katanya, pihak KRT juga mengadakan rondaan mengikut jadual bagaimanapun pencuri mungkin sudah jangkakan dan mereka bertindak bila ada peluang.
“Kita tidak pasti dalang terlibat namun kejadian ini membimbangkan penduduk dan diharap pihak berkuasa meningkatkan pemantauan supaya kejadian sama tidak berulang,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor