Pages

Wednesday, March 1, 2017

PERGINYA LAGENDA AGUNG JINS SHAMSUDIN


 Jins Shamsudin


Pelakon veteran Tan Sri Jins Shamsudin menghembuskan nafas terakhirnya sebentar tadi pada usia 82 tahun.

Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dalam satu kenyataan media memaklumkan, Allahyarham meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik berdekatan kediamannya di Taman Melawati.

Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah berkata, Allahyarham meninggal dunia pada jam 5.45 petang dan perkara itu disahkan anak Allahyarham Putera Hang Nadim.

"Setakat ini, kami masih belum dapat maklumat penuh mengenai perkara ini," katanya.

Allahyarham Jins Shamsudin merupakan aktor yang begitu disegani sepanjang penglibatan dalam bidang seni.

Filem pertamanya, Pancha Delima telah menaikkan namanya di arena seni lakonan yang bergandingan bersama Hashimah Yon.

Merupakan antara aktor Malaya yang berjaya meletakkan namanya sebaris dengan aktor Asia lain apabila watak Jefri Zain menjadi kegilaan ramai pada era 1970-an.

Filem lain yang berjaya mengangkat nama Allahyarham adalah Gerak Kilat di mana gelaran 'Bond Malaya' diberikan kepadanya. 

Tidak hanya berlakon, Allahyarham merupakan pengarah hebat apabila berjaya menghasilkan naskhah gemilang yang meruntun jiwa si penontonnya.

Filem-filem seperti Bukit Kepong, Tiada Esok Bagimu, Esok Untuk Siapa dan Ali Setan antara karya agung Allahyarham.

Pernah menjawat jawatan sebagai Ahli Dewan Negara sebelum menghidap penyakit Alzheimer sejak beberapa tahun lalu.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Puan Sri Halijah Abdullah serta dua anaknya Putera Hang Jebat dan Putera Hang Nadim.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor