Kejayaan menghasilkan lukisan mural di bangunan tinggi yang mendapat kerjasama pejabat daerah dan pihak lain, masih belum memberikan kepuasan kepada rakan kolaborasi di daerah ini.
Malahan rakan kolaborasi yang terdiri daripada tiga individu ini nekad membawa konsep sama di sekitar lorong-lorong terbiar serata bandar Muar.
Bagaimanapun kali ini, elemen berbeza diketengahkan iaitu melukis benda-benda kecil secara 3D berbanding menghasilkan mural bersaiz besar di dinding bangunan tinggi.
Rakan kolaborasi pelancongan di pejabat daerah, Tai Chee Yong berkata, idea menghasilkan projek itu adalah berikutan kejayaan mural yang direncanakan mereka mendapat sambutan menggalakkan.
“Kami lihat lukisan mural berunsur pelbagai cerita berjaya menarik perhatian orang ramai. Ia bukan sahaja mengagumkan penduduk di Muar, malah mereka yang berada di luar Johor termasuk pelancong Singapura turut datang semata-mata menyaksikan projek ini.
“Kami sedar di daerah lain mempunyai lukisan mural masing-masing, namun perbezaan yang kita ketengahkan adalah lukisan bertemakan kehidupan masyarakat yang dilakar dengan saiz besar nyata memberi keunikan kepada penonton,” katanya kepada Sinar Harian.
Oleh itu, menurut Chee Yong, idea yang sama kemudiannya dicetuskan setelah mengadakan perbincangan dengan rakan kolaborasinya, Chua Teck Boon dan rakan strategik yang juga Timbalan Ketua Whip Ahli Majlis Perbandaran Muar (MPM), Chris Lee.
Dipenuhi pengunjung meskipun belum siap
Kini, salah sebuah lorong yang terletak di Jalan Sisi berhampiran tapak perniagaan uptown bakal menjadi lokasi pertama mural 3D dipersembahkan.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, meskipun projek itu belum siap sepenuhnya, namun kehadiran orang ramai membuktikan projek 3D berkenaan sememangnya suatu idea bernas.
Chee Yong berkata, penularan di media sosial mengenai lukisan itu telah menarik kedatangan pengunjung yang rata-ratanya adalah penduduk Muar untuk melihat sendiri keunikan seni berkenaan.
Jelasnya, buat masa ini lukisan berunsurkan flora dan fauna baru siap 50 peratus dan lokasi lorong terbiar merupakan projek 3D pertama diwujudkan di bandar ini.
“Setiap lorong mempunyai elemen 3D berbeza. Seperti di lorong Jalan Sisi kita terapkan unsur flora fauna seperti tumbuhan dan serangga yang dilihat saling berinteraksi antara satu sama lain.
“Bagaimanapun, kita masih dalam proses menambah binatang lain seperti kucing, monyet dan tupai di mana semua haiwan ini sinonim dengan masyarakat Muar,” katanya sambil memaklumkan projek 3D itu telah bermula sejak tiga minggu lalu.
Terap elemen 3D berbeza
Chee Yong berkata, elemen 3D yang diterapkan dalam projek mereka berbeza di tempat lain kerana menggabungkan semua elemen yang ada.
Menurutnya, setiap lorong akan mempunyai perbezaan daripada segi tema serta penghasilan 3D.
"Terdapat tiga kategori 3D yang kita persembahkan iaitu lukisan berserta objek sebenar, lukisan 3D halus di mana setiap unsur akan dihasilkan mengikut objek sebenar dan satu lagi elemen iaitu lukisan yang kelihatan nyata serta hidup.
“Ini adalah lukisan 3D pertama yang kita gabungkan semua elemen dalam satu lokasi iaitu di daerah Muar sahaja. Selain menceriakan lorong-lorong belakang bangunan, ia juga sebagai merancakkan kedatangan pelancong,” katanya.
Seni lembutkan pemandangan
Sementara itu, Chriss Lee berkata, dengan kewujudan projek lukisan 3D ini dapat membantu ‘meredupkan’ pandangan pengemar karya seni.
Jelasnya, daerah Muar yang semakin pesat membangun menyebabkan banyak pembangunan dibina di sini.
“Namun, unsur seni harus diketengahkan supaya kemajuan itu menjadi seiring baik dari segi kemodenan mahupun kesenian.
“Malah, bukan hanya objek biasa kita tonjolkan, tetapi lukisan berkisar budaya masyarakat Muar turut diabadikan selepas ini terutamanya makanan seperti sate, mee bandung dan pelbagai lagi bagi mendidik orang luar mengenai budaya kita,” katanya.
Beliau berkata, kini sebanyak empat lorong belakang telah dikenal pasti untuk merealisasikan projek berkenaan dan ia dijangka siap pada tahun ini.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor