Kerajaan negeri mengarahkan Jabatan Veterinar supaya proaktif dalam menjalankan pemeriksaan di kawasan yang mudah dilanda wabak selesema burung (H5N1) bagi memastikan negeri ini bebas dari penyakit berkenaan.
Menteri Besar Pahang, Dato' Sri DiRaja Adnan Yaakob berkata, kerajaan negeri tidak meletakkan sasaran tempat-tempat tertentu tetapi pemeriksaan yang lebih kerap perlu diadakan di kawasan yang berisiko dan mudah dilanda wabak terbabit.
Menurutnya, pemeriksaan itu tidak semestinya kawasan di sempadan negeri dan daerah tetapi ia dilakukan secara menyeluruh selain tindakan segera akan diambil.
"Kita tidak mahu menjadikan perkara berkaitan penyakit H5N1 ini sebagai isu sehingga ia boleh menimbulkan panik dan kebimbangan dalam kalangan penduduk.
"Walaupun begitu, adalah dinasihatkan masyarakat agar sentiasa menjaga kebersihan haiwan dan unggas peliharaan mereka dengan baik sekaligus mampu terhindar dari penyakit itu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa Peringkat Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah Lipis di sini, semalam.
Hadir sama Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia, Dato' Shahaniza Shamsuddin; Ahli Parlimen Lipis, Dato' Abdul Rahman Mohamad; Adun Benta, Dato' Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak; Adun Jelai, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail; Adun Cheka, Dato' Fong Koong Fuee dan Pegawai Daerah Lipis, Datuk A Rahman Hamzah.
Adnan berkata, beliau juga meminta Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif supaya mengambil tindakan segera bersama pegawai dan kakitangan Jabatan Veterinar bagi mengesan penularan wabak itu di negeri ini.
Menurutnya, walaupun sehinggi kini belum ada laporan wabak berkenaan menular di negeri ini tetapi langkah proaktif dan sewajarnya perlu dilakukan segera.
Berucap pada majlis itu, Adnan berkata, golongan wanita kini bukan lagi dianggap sebagai ibu dan isteri tetapi ia telah bertukar sebagai penyumbang penting kepada pembangunan negara.
"Wanita kini telah banyak menceburkan diri dalam pelbagai bidang sama ada kumpulan profesional mahupun sokongan sekaligus membolehkan mereka diiktiraf sebagai penyumbang kepada kemajuan ekonomi negara," katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor