Kajang - Laporan siasatan akhir mengenai pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370, yang hilang pada 8 Mac 2014, dijangka siap tahun ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kerajaan telah meminta Pasukan Penyiasatan Keselamatan Lampiran 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bagi MH370 supaya menyiapkan laporan itu pada tahun ini.
"Setelah kami menggantung usaha pencarian, kami akan meminta Pasukan Penyiasatan Keselamatan Lampiran 13 ICAO mengemukakan laporan akhir mengenai keseluruhan penyiasatan itu, laporan teknikal sepatutnya boleh disiapkan pada tahun ini. Kami berharap laporan akhir ini dapat dikeluarkan tahun ini juga," katanya.
Liow, yang juga presiden MCA, berkata demikian kepada pemberita di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) selepas merasmikan Pusat Kajian Sosial dan Dasar Tun Tan Cheng Lock di sini, semalam.
Turut hadir Canselor UTAR, Tun Dr Ling Liong Sik dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datin Paduka Chew Mei Fun.
Liow diminta mengulas tentang perkembangan terkini MH370 setelah usaha pencarian digantung.
Beliau berkata usaha mencari pesawat Penerbangan MH370 tidak dihentikan terus kerana Malaysia menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan semua negara pesisiran pantai di Afrika Selatan bagi mendapatkan bantuan mereka mencari serpihan pesawat berkenaan di kawasan pesisiran pantai.
"Sekiranya mereka menjumpai sebarang serpihan, mereka akan menghubungi kami, pasukan respons kami akan pergi mengambil serpihan itu.
"Baru-baru ini, kami mengambil dua serpihan dan kini, jumlah serpihan yang dikumpul ialah 27 keping," katanya sambil menjelaskan butiran lanjut tentang penemuan terbaharu itu akan diumumkan kemudian.
Pada 18 Januri lepas, Liow berkata operasi mencari pesawat Penerbangan MH370 yang meliputi kawasan seluas lebih 120,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi digantung selepas hampir tiga tahun ia hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Menurutnya usaha mencari pesawat itu, yang membawa 239 penumpang dan anak kapal yang sehingga kini melibatkan kos US$112.47 juta (RM500 juta), akan hanya disambung sekiranya ada maklumat baharu dan bukti kukuh mengenainya.
Pesawat Boeing 777-200ER itu hilang daripada skrin radar pada hari penerbangan itu dan susulan itu, misi mencari dilakukan secara berterusan di Lautan Hindi.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor