Busuk dan menjijikkan! Itu gambaran paling sesuai keadaan sebuah premis penyembelihan ayam haram di sini yang dikesan beroperasi tanpa lesen sejak lapan tahun lalu.
Premis yang beroperasi dalam sebuah ladang kelapa sawit diserbu pihak berkuasa dalam satu operasi kira-kira jam 3 pagi semalam.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Noridzuan Abdul Manan berkata, bertindak atas aduan orang ramai, pihaknya menyerbu premis berkenaan untuk pemeriksaan.
Katanya, hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati semua pekerja terlibat dengan proses penyembelihan ayam di situ tidak memiliki sijil tauliah dan beroperasi tanpa pengawasan Jaip.
"Sebelum ini, Jaip sudah beberapa kali melakukan operasi di premis ini dan mereka ada mengemukakan permohonan kepada Jaip, bagaimanapun semakan mendapati tiada rekod permohonan sijil halal daripada syarikat berkenaan melalui e-halal.
"Syarikat itu juga tidak boleh dipertimbangkan untuk kelulusan sijil halal kerana beroperasi tanpa lesen selain gagal melepasi ujian dan standard yang ditetapkan," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Noridzuan berkata, pemeriksaan yang dijalankan tujuh pegawai itu mendapati tahap kebersihan premis berkenaan berada di tahap teruk apabila terdapat ayam yang sudah busuk disimpan di dalam bilik sejuk beku bersama-sama ayam yang sudah disembelih.
“Selain itu, kita dapati alatan penyembelihan juga didapati tidak dicuci dan diurus dengan baik.
"Difahamkan ayam yang disembelih di premis itu untuk dibekalkan di kawasan sekitar daerah ini," katanya.
Beliau berkata, Jaip hanya mampu memberi nasihat kepada pemilik dan pengurus premis itu kerana mereka bukan pemegang sijil halal dan berharap agensi terlibat dapat mengambil tindakan sewajarnya.
“Dalam masa sama, Jaip menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati apabila membeli ayam di pasaran dan pastikan pembekal ayam itu memegang sijil halal supaya sembelihan adalah mengikut hukum syarak dan terjamin kebersihannya," katanya.
Operasi awal pagi itu turut disertai pegawai Kementerian perdagangan Dalam negeri, Koperasi dan Kepenggunan (KPDNKK), Jabatan kesihatan, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Jabatan Vaterinar dan pejabat Tanah.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor