Seorang suri rumah nyaris maut akibat ditetak di tangan dan kepala hingga parah oleh suaminya, di sebuah taman perumahan, di sini, Ahad lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa yang berusia 29 tahun itu telah diserang dengan sebilah pisau pemotong sayur ketika berada di rumah ibunya.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, suspek berang kerana isterinya enggan tinggal berasingan sebaliknya mahu terus menetap di rumah ibunya.
“Ketika kejadian itu, mangsa sedang berada di bilik air di rumah ibunya sebelum diserang suami yang berusia 28 tahun menggunakan sebilah pisau yang diambil di dapur.
“Wanita itu terpaksa dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk mendapatkan rawatan dan kini keadaannya dilaporkan stabil.
“Bagaimanapun selepas menetak isterinya, suspek dipercayai telah melarikan diri,” katanya ketika dihubungi, di sini.
Dalam pada itu, menurut Abdul Aziz, polis sedang memburu dan mengesan suspek dan dipercayai dia masih berada di dalam negara.
“Siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dilakukan dan setakat ini hasil siasatan mendapati serangan bermotifkan cemburu.
“Polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tiga tahun, denda dan sebatan atau kedua-duanya sekali,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor