Kerajaan negeri mengalu-alukan lebih banyak pembinaan hotel bagi menampung kedatangan pelancong yang semakin bertambah ke Pahang setiap tahun.
Exco Perumahan dan Perbandaran Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kehadiran pelancong semakin meningkat sepanjang tahun menjadikan permintaan bagi penginapan di hotel-hotel juga tinggi.
Menurutnya, kehadiran pelancong ke Pahang sudah mencecah 10 juta pengunjung dan sempena Tahun Melawat Pahang tahun ini dijangkakan sehingga 15 juta pelancong bakal hadir ke negeri ini.
“Di Pahang terdapat kira-kira 600 hotel dan lebih kurang 30,000 bilik, namun masih tidak mencukupi.
“Walaupun sektor pelancongan banyak dibantu dengan tawaran daripada pengusaha rumah inap desa (homestay) namun keperluan penginapan masih memerlukan penambahan,” katanya.
Beliau berkata ketika berucap di Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Carlton Holiday Hotel & Suites, di sini, semalam.
Dalam pada itu, menurutnya, Cameron Highlands juga dilihat mempunyai potensi untuk pembinaan lebih banyak hotel dan pusat penginapan.
“Setiap kali musim cuti, Cameron Highlands dilihat tepu dan sesak. Pelabur dan pengusaha hotel yang berminat boleh mengintai ruang tanah yang masih sesuai bagi pembinaan hotel dan membuat permohonan kepada kerajaan negeri untuk dipertimbangkan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor