Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) terus bertindak tegas dengan membanteras iklan haram di sepanjang jalan menerusi operasi yang dijalankan selama dua hari, berakhir semalam.
Ketua Seksyen Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Izad Zainal Muhammad Safian berkata, operasi dijalankan untuk memastikan bandar lestari tersebut tidak dicemari dengan papan tanda iklan haram yang boleh mencacatkan pemandangan.
Katanya, sebanyak 200 papan tanda iklan haram ‘ditumbangkan’ penguat kuasa MPK di sepanjang Jalan Kuantan-Gambang, di sini.
“Seramai 35 kakitangan MPK terdiri daripada beberapa jabatan termasuk Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Perlesenan, Jabatan Perancang dan Bahagian Penyelenggaraan terbabit dalam operasi tersebut.
“Mereka dibahagikan kepada dua kumpulan di mana satu kumpulan menjalankan operasi di sepanjang jalan dari Kuantan ke Gambang manakala sebuah lagi merangkumi jalan dari Gambang ke Kuantan, turut disertai dua kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.
Menurutnya, usaha merobohkan papan iklan haram terpaksa dijalankan bagi memastikan kawasan di sepanjang jalan tidak dicemari dengan papan iklan yang tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan.
“Ini kerana terdapat papan iklan yang diletakkan terlalu hampir dengan bahu jalan yang dikhuatiri boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal.
“Selain itu, ada juga yang diletakkan sewenangnya di simpang-simpang jalan hingga menghalang pandangan jika dibiarkan boleh mengundang kemalangan.
“Di samping itu, papan iklan haram berkenaan juga mencacatkan pemandangan pengunjung yang memasuki bandar Kuantan terutama yang melalui Tol Gambang... bukan sahaja susunan yang tidak teratur malah penggunaan bahasa yang tidak bersesuaian sekali gus bakal memberi kesan negatif terutama sepanjang Tahun Melawat Pahang 2017,” katanya.
Sementara itu, katanya lagi, pihaknya sudah bertindak tegas supaya pengusaha yang memasang papan tanda iklan haram tidak lagi membina binaan di atas tanah rizab kerajaan negeri tanpa kebenaran.
“Mereka tidak dibenarkan memasang binaan papan iklan atau tanda di tanah kerajaan, sebaliknya jika ingin memasangnya hendaklah di tanah persendirian dengan syarat mendapat kebenaran daripada MPK terlebih dahulu,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor