Seorang peniaga kafe kerugian kira-kira RM35,000 apabila premis sewanya di Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak (PPPTR) musnah dalam kebakaran, awal pagi kelmarin.
Kebakaran kira-kira jam 5.45 pagi itu menyebabkan 80 peratus bangunan separuh kekal itu musnah.
Peniaga, Siti Zaharah Abdul Aziz, 41, berkata, ketika kejadian, dia dan suami, Shamsul Zamri Samian, 43, serta dua anaknya berada di rumah mereka di Felda Jengka 13.
Menurutnya, dia hanya menyedari kejadian itu jam 5.50 pagi setelah dihubungi seorang penduduk yang tinggal berhampiran kafenya.
“Saya terus ke lokasi untuk melihat keadaan kafe dan mendapati anggota bomba sedang memadamkan kebakaran.
“Semua barangan termasuk sebuah peti sejuk, perabot dan alatan memasak bernilai kira-kira RM35,000 di dalamnya tidak dapat diselamatkan,” katanya kepada pemberita, di sini.
“Saya difahamkan bangunan yang kami sewa sejak setahun lalu juga bernilai RM35,000 dan saya juga dimaklumkan pihak PPPTR akan membinanya semula,” katanya.
Dia yang turut menyediakan perkhidmatan katering sejak sekitar 10 tahun lalu terkejut atas kejadian yang menimpa dirinya sekeluarga.
“Sebelum ini kami cuma berniaga katering dan ini merupakan satu-satunya kedai makan yang kami sewa. Kami sudah ambil langkah berjaga-jaga setiap kali meninggalkan kafe untuk pulang ke rumah. Tak sangka pula boleh jadi macam ni,” katanya.
Dia berkata, dia tidak merancang untuk menyewa mana-mana kedai lain selepas ini dan akan meneruskan kepada perniagaan katering keluarganya itu.
“Saya ada dua anak...dua-dua sekolah menengah dan rendah di PPPTR ini. Mungkin saya akan tunggu bangunan ini dibina semula dan akan sambung perniagaan kami di kafe ini,” katanya.
Siti Zaharah berkata, dia bersyukur kerana sebahagian barangan perniagaan kateringnya masih selamat kerana disimpan di sebuah stor di Felda Jengka 8.
“Dengan sebahagian barangan katering yang masih ada ini saya guna untuk teruskan perniagaan,” katanya.
Dalam pada itu, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Cawangan Penyiasatan Zon 2 Pahang, Mohd Arshad Abdullah berkata, punca kebakaran masih disiasat.
Katanya, pihaknya telah melakukan pemugaran di lokasi dan mencari bahan bukti sumber dan punca kebakaran, semalam.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor