Pages

Wednesday, March 8, 2017

HAMPIR DITUMBUK GARA-GARA KEJUTAN


Hampir ditumbuk gara-gara kejutan


Bukan sekadar menjual barangan, namun 'kejutan' juga mampu meraih pendapatan sekiranya dibuat dengan betul.

Itu yang dilalukan seorang anak muda dari Asahan, Jasin apabila menawarkan perkhidmatan 'suprise planner' atau perancang kejutan sebagai sumber pendapatannya.

Muhaimin Ahmad, 24, pada awalnya berita-cita untuk menjadi pereka grafik pengiklanan, namun dalam masa sama memasang impian membuka perniagaan yang lain dari lain. 

Mengakui bidang 'suprise planner' itu sesuatu yang baharu dalam masyarakat Malaysia masa kini, namun dia tidak menyangka akan mendapat sambutan menggalakkan daripada komuniti setempat.

Malah, katanya, dalam kalangan masyarakat kampung juga mereka menerima baik perkhidmatan tersebut walaupun agak asing untuk dilakukan di luar bandar.

“Penglibatan saya dalam bidang ini bermula apabila seorang rakan meminta saya membuat kejutan sempena ulang tahun kelahiran ibunya. Ketika itu saya tidak pernah terfikir untuk membuat perkhidmatan ini.

“Bagaimanapun, suatu hari saya muat naik gambar tersebut di laman sosial Facebook. Tak sangka ia mendapat sambutan baik dan ramai yang meminta saya membuat perkhidmatan tersebut,” katanya yang aktif sebagai 'suprise planner' sejak awal tahun lalu.

Rentetan respons baik itu juga, anak keempat daripada sebelas beradik yang mesra disapa Aimin ini meluaskan perkhidmatannya dari Jasin ke sekitar Bandar Melaka.

Bercerita lanjut, kata Aimin, bermula suka-suka, dia sememangnya tidak menyangka 'suprise planner' menjadi sumber pendapatannya kini.

“Sebelum terlibat dengan 'suprise planner', saya hanya menjalankan perniagaan pengiklanan atas talian. Ia termasuk membuat pelekat, gegantung, kad kahwin dan sebagainya.

“Tapi kerana lebih ramai yang menempah perkhidmatan 'suprise planner', akhirnya saya memilih menjadikan bidang ini secara serius sepenuh masa dan bidang pengiklanan menjadi separuh masa.

“Sokongan keluarga dan kawan-kawan yang menjadi tulang belakang saya selama ini membuatkan saya sentiasa bersemangat meneruskannya,” katanya setiap hari ada sahaja menempah perkhidmatannya sehingga kini.

Puas hati tengok orang gembira

Walaupun begitu, Aimin berkata, gara-gara perkhidmatan 'suprise planner' itu, dia hampir ditumbuk pelanggan kerana tidak tahu ia satu kejutan.

“Tidak pernah saya lupakan pengalaman tersebut. Ketika itu, saya diminta pelanggan menyamar sebagai penghantar barang. Tak sangka pula ayahnya yang datang di tempat yang dijanjikan bukannya orang yang hendak dikejutkan. Akhirnya saya yang terkejut. 

“Bagaimanapun, ia tidak pernah mematahkan semangat saya, sebaliknya ia menjadi momen berharga sepanjang menjalankan perkhidmatan ini,” katanya.

Bersyukur dengan perjalanan hidupnya sebagai 'suprise planner', Aimin berkata, dia sangat gembira apabila kejutan dilakukan berjaya memuaskan hati pelanggannya.

“Seronok melihat mereka gembira dan terharu dengan perkhidmatan ini. Menariknya, bukan sahaja pasangan bercinta, tetapi perkhidmatan ini lebih banyak mendapat permintaan daripada anak-anak yang ingin meraikan ibu bapa mereka. Malah, pasangan suami isteri yang ingin mencari kelainan dalam rumah tangga mereka.

“Mereka juga memerlukan saya tidak mengira masa, ketika ulang tahun perkahwinan, hari lahir, meraikan kejayaan peperiksaan, meminta maaf dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, tidak lengkap kehidupan seseorang itu tanpa pengalaman pahit manis.

Selain 'suprise planner', antara perkhidmatan dijalankan Aimin termasuk jambangan bunga, jambangan coklat, kotak coklat, menghias lokasi hari jadi dan ulang tahun.

Mereka yang berminat mendapatkan makluman lanjut perkhidmatan Aimin, boleh melayari laman sosial milik beliau, Aimin Ahmad.

Pada masa sama, Aimin turut menguruskan perniagaan milik keluarganya di Selandar, di sini.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor