Kepala Batas - Berat mata memandang berat lagi bahu memikul, tiada apa yang mampu digambarkan mengenai ketabahan sepasang suami isteri di Kampung 20 Penaga ini apabila anak bongsu pasangan ini disahkan menghidap leukemia pada Disember lalu.
Bapa, Mohd Zaini Shamsudin, 34, berkata, tiada lain yang mampu diungkapkan dirinya tatkala menerima berita mengenai penyakit yang dihidapi anak bongsunya, Muhammad Fakhrudin Basuki, 11 bulan.
Menurutnya, Muhammad Fakhruddin atau lebih dikenali oleh dia dan isterinya sebagai Udin disahkan mengalami masalah terlebih sel darah putih ketika dirawat di Hospital Kepala Batas pada Disember lalu.
“Ayah mana sanggup tengok anak yang belum kenal apa-apa terpaksa tanggung derita ini. Kalau boleh, biarlah saya saja tanggung.
“Buat masa ini Udin dah selesai buat empat pusingan kemoterapi tapi masih perlu jalani rawatan susulan termasuk lakukan transplan di Kuala Lumpur.
“Hasil ujian darah yang dilakukan doktor mendapati darah kakaknya sesuai untuk dipindahkan kepada Udin dan saya masih mencari belanja untuk melakukan rawatan itu,” katanya.
Nasib pasangan suami isteri ini terus diuji apabila isteri kesayangannya, Aziah Ahmad, 33, juga menghadapi masalah tulang belakang sehingga terpaksa dibedah.
“Isteri saya pula alami sakit kaki dan tak mampu berjalan dan ujian x-ray yang dibuat di Klinik Kesihatan Penaga menunjukkan dia hadapi masalah tulang belakang.
“Selepas melakukan rawatan susulan di Hospital Seberang Jaya, isteri saya diarahkan menjalani pembedahan yang berjaya dilakukan beberapa minggu yang lalu,” katanya.
Menurutnya, sebelum ini dirinya yang bekerja sebagai penyelia di sebuah kilang di Seberang Perai terpaksa mengambil cuti untuk menguruskan hal berkaitan anak bongsunya itu dan juga isterinya.
“Alhamdulillah, berkat kesabaran, semangat yang diberikan isteri, biarpun dia alami masalah tulang belakang, namun semangat diberikan kepada saya tak pernah putus.
“Begitu juga dengan keluarga serta jiran tetangga yang tidak jemu-jemu berikan nasihat, bantuan serta pertolongan dan mendoakan kami sekeluarga untuk cekal menghadapi ujian ini,” katanya.
Katanya, buat masa ini isterinya masih terpaksa menjalani rawatan fisioterapi di HKB kerana keadaannya masih lemah.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkesempatan hadir menziarahi keluarga ini di rumah mereka di Kampung 20, Penaga baru-baru ini.
Lawatan yang dihadiri ini turut sama disertai oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Seberang Perai Utara. Hadir sama menziarahi adalah Adun Penaga, Datuk Zain Ahmad.
Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Seberang Perai Utara Azura Ahmad berkata, dalam kunjungan ini pihaknya menyerahkan bantuan segera berjumlah RM300 kepada pasangan suami isteri ini.
“Untuk lawatan ini kita menyerahkan bantuan segera kepada mereka dan Insya-ALLAH, bantuan bulanan pesakit terlantar kronik akan diluluskan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor